MATRADE teroka kawasan baharu bagi pertumbuhan eksport India

MATRADE teroka kawasan baharu bagi pertumbuhan eksport India

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedang meneroka bidang baharu bagi pertumbuhan eksport di pasaran India untuk memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas Malaysia dan India.

Agensi penggalakan perdagangan negara itu menganjurkan Misi Mempercepatkan Eksport (EAM) ke New Delhi dari 13 hingga 15 Nov bagi mengkaji aliran pasaran selain bertemu pengimport.

Timbalan Pengarah MATRADE bagi Asia Tengah, Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika, Shaiful Sharif berkata India merupakan pasaran yang besar dan rancak.

“Ia adalah pasaran tunggal dengan pelbagai ciri apabila menyentuh mengenai selera pengguna, keutamaan dan pilihan produk. Syarikat kita perlu jelas mengenai segmen pasaran yang mereka mahu sasarkan.

“Kita mahu meningkatkan kerjasama dengan persatuan perniagaan dalam sektor yang berbeza merentasi India melalui misi perdagangan ini,” katanya kepada Bernama

Misi perdagangan itu melibatkan 11 syarikat Malaysia yang terlibat dalam bidang makanan dan minuman, perabot, bahan binaan, kosmetik dan produk petroleum.

Shaiful berkata sektor tersebut menyaksikan pertumbuhan penggunaan yang baik di India berikutan kelas pertengahan yang semakin bertambah serta dan keutamaan bagi produk berkualiti.

Anggota delegasi Malaysia mengadakan sesi rangkaian, lawatan pasaran dan mesyuarat perniagaan bersama pengimport India.

Mereka juga diberikan taklimat mengenai potensi pasaran India di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Hidayat Abdul Hamid berkata hubungan ekonomi dua hala menerima rangsangan daripada Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA) dan Perjanjian Perdagangan Serantau ASEAN-India FTA (AIFTA).

Beliau berkata pengeluar Malaysia tidak memanfaatkan sepenuhnya kelebihan peluang yang diwujudkan perjanjian itu menerusi pengurangan duti kastam.

Perdagangan dua hala pada 2017 bernilai RM61.4 bilion berbanding RM48.7 bilion pada 2016.

Eksport Malaysia ke India tahun lepas meningkat lapan peratus kepada RM34.5 bilion.

— BERNAMA