MATTA Fair sasar jualan RM210 juta

MATTA Fair sasar jualan RM210 juta

Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyasarkan jualan bernilai RM210 juta pada MATTA Fair yang akan berlangsung esok hingga Ahad ini di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Presidennya Datuk Tan Kok Liang berkata dianggarkan 100,000 pelawat akan ke pameran selama tiga hari itu yang menampilkan 1,354 gerai menawarkan pelbagai produk dan pakej pelancongan.

“Pengunjung akan berpeluang menikmati tambang, hotel serta pakej pelancongan pada harga diskaun selain destinasi baharu. Pelbagai tarikan serta aktiviti dan persembahan kebudayaan akan diadakan bagi memberi inspirasi kepada pengunjung berhubung percutian mereka yang seterusnya,” katanya pada sidang media prapameran, di sini hari ini.

Katanya sebanyak tujuh dewan disediakan dengan Hall 4 dan 5 merupakan tarikan utama untuk pelancongan domestik termasuk 10 badan pelancongan negeri sementara Hall 1, 2, 3 dan Linkway diperuntukkan bagi agensi pelancongan antarabangsa termasuk 14 organisasi pelancongan negara.

Pelawat juga berpeluang menyertai pertandingan ‘Pembeli Pakej Antarabangsa dan Domestik MATTA Fair’ dengan pembelian minimum RM100 untuk  pakej pelancongan domestik atau RM300 bagi pakej antarabangsa.

“MATTA menyediakan baucar pelancongan bernilai RM5,000; RM3,000 dan RM1,000 sebagai hadiah utama bagi pembeli pakej pelancongan domestik berserta tiket penerbangan pergi balik destinasi tempatan sumbangan Malaysia Airlines dan Firefly,” katanya.

Bagi kategori antarabangsa, hadiah utama ialah dua tiket penerbangan pergi balik  kelas perniagaan ke London serta 35 lagi tiket penerbangan pergi balik destinasi antarabangsa.

Bayaran RM4 akan dikenakan kepada pengunjung untuk memasuki pameran sementara kemasukan kanak-kanak berusia 12 tahun  ke bawah pula adalah percuma.

— BERNAMA