Maulidul Rasul disertai pelbagai agama di Dataran Merdeka
Orang bukan Melayu berebut-rebut untuk bergambar dengan Khalid di majlis Grand Maulidul Rasul di Dataran Merdeka.

Maulidul Rasul disertai pelbagai agama di Dataran Merdeka

Program Maulidul Rasul biasanya menjadi urusan umat Islam sahaja tetapi sambutan Grand Maulidul Rasul di Dataran Merdeka malam tadi menjadi luar biasa apabila orang bukan Islam turut menyertainya.

Mungkin ia selaras dengan pendekatan penganjur utamanya iaitu AMANAH Wilayah Persekutuan yang berpegang kepada mottonya ‘rahmatan lil alamin’.

Ada yang beragama Budha, Sikh dan lain-lain yang menyertai majlis yang dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad itu.

Di barisan depan, pemimpin agama Hindu, Kristian dan Sikh duduk bersama tetamu utama majlis ini.

Selepas majlis selesai, mereka berebut-rebut untuk mengambil gambar dengan Khalid.

Selain Khalid, turut berucap malam tadi adalah Ustaz Nik Omar Nik Aziz yang datang khas dari Kelantan untuk menyerikan majlis ini.

Serentak dengan majlis ini adalah Perhimpunan Perpaduan Ummah di Pasir Salak yang mengumpul orang Melayu sahaja untuk mempertahankan hak orang Melayu dari diganggu gugat oleh pihak lain.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran orang Melayu akan mengamuk jika hak-hak mereka disentuh.