Maulidur Rasul 1441 hijrah peringkat kebangsaan esok

Maulidur Rasul 1441 hijrah peringkat kebangsaan esok

Majlis sambutan Maulidur Rasul 1441 Hijrah/2019 peringkat kebangsaan, akan diadakan pada Sabtu ini (9 Nov) di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula 7 pagi.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata 8,000 peserta terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan serta pelajar institusi pengajian tinggi, dan sekolah akan menyertai perarakan bersempena sambutan itu.

Katanya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dijangka berangkat menyempurnakan majlis itu yang dijadual turut dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Mohamad Nordin berkata kemuncak sambutan tahun ini bertemakan ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’, ialah penyampaian anugerah kepada seorang penerima Anugerah Perdana dan empat penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan.

“Penerima Anugerah Perdana akan menerima wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi dan sijil penghargaan, manakala empat lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul akan menerima wang tunai RM20,000 berserta trofi dan sijil penghargaan,” katanya.

Orang ramai boleh menyaksikan siaran langsung sambutan Maulidur Rasul melalui RTM1, dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah serta saluran radio di bawah seliaan RTM di samping radio IKIM.FM.

Majlis itu juga boleh ditonton melalui live streaming di web TV JAKIM dengan melayari sesawang www.tvjakim.my.– BERNAMA