Malaysia Dateline

Salam Maulidur Rasul

Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 20 Nov

Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan diadakan pada Selasa ini di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula pukul 8.30 pagi.

Dalam satu kenyataan di sini, hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata 4,000 peserta kontinjen terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar daripada institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah akan menghadiri perhimpunan bersempena sambutan itu.

Beliau berkata Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dijangka berangkat menyempurnakan majlis tersebut yang dijadualkan turut dihadiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri Tun Dr Siti Hasmah.

Tema sambutan tahun ini ialah ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’, katanya lagi.

“Pelbagai acara telah dirancang untuk menghidupkan acara sambutan kali ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambah beliau, kemuncak sambutan pada tahun ini ialah penyampaian anugerah kepada seorang penerima Anugerah Perdana dan empat penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan.

“Penerima Anugerah Perdana akan menerima wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi dan sijil penghargaan, manakala penerima-penerima Anugerah Maulidur Rasul yang lain akan menerima wang tunai RM20,000 beserta trofi dan sijil penghargaan,” katanya lagi.

Orang ramai boleh menyaksikan siaran langsung sambutan Maulidur Rasul melalui RTM1, dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah serta radio-radio di bawah seliaan RTM di samping radio IKIM.FM.

Majlis itu juga boleh ditonton melalui live streaming di web TV JAKIM dengan melayari sesawang www.tvjakim.my.

— BERNAMA