Malaysia Dateline

Maut dijerut suami: Tidak harus segan minta bantuan ahli keluarga, jiran

Wanita PKR menyeru semua pihak memainkan peranan untuk saling membantu dan bersungguh-sungguh membina masyarakat yang prihatin.

Ketuanya, Fuziah Salleh berkata, keadaan tidak semestinya ideal seperti yang diinginkan oleh setiap orang yang membina keluarga.

“Sekiranya mana-mana keluarga berhadapan dengan masalah, maka tidak harus segan atau malu untuk meminta pertolongan daripada ahli keluarga yang lain, rakan sekerja, jiran tertangga mahu pun dari institusi khas yang diwujudkan untuk menolong.

“Memohon untuk dibantu mungkin dapat menghindar insiden seperti di atas daripada terjadi. Masyarakat juga harus ambil tahu serta tidak rasa terhalang daripada menghulurkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes seorang isteri dijerut dengan tudung hingga mati oleh suaminya berusia 42 tahun di Putra Perdana pada 29 Julai lalu.

Mayat pensyarah di sebuah universiti awam berusia 40 tahun itu ditinggalkan di dalam kereta berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil.

Mengulas lanjut, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, suami merupakan pelindung buat wanita dan suami isteri merupakan pelengkap antara satu sama lain.

Menurutnya, institusi keluarga dibina atas dasar kasih sayang, tolak ansur, mawaddah wa rahmah serta nilai-nilai murni.

“Sekiranya baik institusi keluarga, maka baiklah juga masyarakat yang terhasil darinya,” tambahnya lagi.