Malaysia Dateline

Maut Hitam, Ibn Battuta dan Covid-19

2,000 orang mati setiap hari. Tugas menguburkan orang yang mati tiada henti. Penduduk kelam-kabut. Kegiatan sehari-sehari di kota telah terhenti. Ramai cuba melarikan diri daripada penyakit itu tetapi mati di sepanjang jalan berserta kuda dan unta mereka.

Serangan penyakit itu mengerikan. Corak hidup masyarakat berubah. Manusia mulai semakin mendekatkan diri dengan Tuhan.

Bisul atau bengkak yang panas muncul di pelipat paha atau di ketiak dan serangannya disertai dengan rasa mual, sakit di kepala, perut dan kaki. Pesakit tidak boleh tidur dan kalau tidur pun selalu akan mengigau.

Pesakit akan mati dalam beberapa jam selepas muntah darah dan menampakkan gejala radang paru-paru. Serangan ganas wabak dipanggil Maut Hitam (Black Death) itu berlaku ketika musafir tersohor dari keluarga sarjana ahli hukum Islam di Tangier, Maghribi, Ibn Battuta berada di kota Damsyik pada Julai 1348.

Ya. Sekitar kurun ke-14 lalu iaitu lebih 670 tahun lampau sebelum bala Covid-19 menghantui dunia yang kini telah mengorbankan lebih 2.2 juta nyawa dan menjangkiti lebih 103 juta orang.

Pada Jun 1348 lagi, ketika Ibn Battuta bertemu dengan para ulama di Allepo, Syria, para musafir yang tiba dari selatan gempar memberitahu penyakit itu sedang mengganas di Gazza, di daerah sempadan Mesir.

Maut Hitam merupakan malapetaka dahsyat yang dikatakan bermula dalam kalangan penduduk penggembala Asia Tengah bahagian Timur.

Penyakit yang terdapat pada binatang di dalam lubang-lubang di tanah rumput Asia Tengah itu merebak di sepanjang laluan perdagangan ke arah barat dan barat daya mulai tahun 1331.

Dipindahkan daripada tikus dan kutu yang terkena jangkitan, kuman Yersinia pestis menerobos ke sistem peredaran darah manusia.

Kutu itu berkembang biak dan bergentayangan di dalam bulu kulit tikus yang terjangkit. Kutu-kutu yang terkena jangkitan itu kemudiannya menyelinap ke dalam guni-guni gandum dan bahan makanan lain atau ke dalam pakaian.

Bersembunyi di antara barang dagangan, penyakit itu merebak daripada muatan yang dibawa singgah dari satu pelabuhan ke pelabuhan lain.

Dari pelabuhan itu, iringan keldai dan karavan unta memindahkan Maut Hitam ke wilayah-wilayah di pedalaman Eropah, Afrika Utara dan Timur Tengah.

Kematian besar-besaran akibat Maut Hitam juga berlaku di Paris dan Bordeaux, Barcelona dan Valencia sekitar tahun 1348.

Maut Hitam terus menular dan menggoncangkan China pada 1353 dan 1354. Dikatakan pandemik itu mungkin menjadi penyebab keruntuhan Dinasti Yuan 14 tahun kemudiannya.

Angka kematian akibat Maut Hitam terlalu menakutkan. Dikatakan Eropah mungkin telah kehilangan satu per tiga penduduknya. Penduduk di Kaherah tinggal 200,000 orang daripada kira-kira setengah juta orang. Di Damsyik, kira-kira 30,000 maut.

“Maut Hitam adalah harga yang kejam terpaksa dibayar akibat kemajuan komersial ciptaan Mongol ketika itu,” tulis Rose E. Dunn dalam bukunya, “Pengembaraan Ibn Battuta: Musafir Islam” yang diterjemah ke bahasa Melayu oleh Penerbit Universiti Malaya pada 2005.

Sejarah bencana kesihatan dunia sedang berulang? Adakah Covid-19 yang tercetus dari Wuhan juga adalah harga kejam yang terpaksa dunia bayar akibat kemajuan China sebagai kuasa ekonomi nombor satu dunia yang telah diakui Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah memintas Amerika Syarikat?