Mavcom menyedari permohonan semakan kehakiman AirAsia, AirAsia X

Mavcom menyedari permohonan semakan kehakiman AirAsia, AirAsia X

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menyedari dan mengambil perhatian terhadap permohonan semakan kehakiman ke atas suruhanjaya itu, yang difailkan oleh AirAsia Bhd dan syarikat penerbangan jarak jauh yang menjadi sekutunya, AirAsia X Bhd.

MAVCOM, dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagaimanapun ia masih belum menerima apa-apa dokumentasi mengenai permohonan semakan kehakiman itu, justru, tidak dapat memberikan apa-apa respons masa ini.

AirAsia dan AirAsia X hari ini memfailkan permohonan semakan kehakiman, mencabar Mavcom kerana suruhanjaya itu enggan membuat apa-apa keputusan mengenai pertikaian antara Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) dengan syarikat penerbangan berkenaan.

AirAsia dalam satu kenyataan berkata pertikaian tersebut adalah mengenai caj perkhidmatan penumpang (PSC) dan tahap perkhidmatan di klia2 yang dilaporkan agak buruk.

Syarikat penerbangan itu menegaskan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, Mavcom mempunyai kewajipan berkanun untuk membuat keputusan mengenai pertikaian itu selepas pengantaraan antara pihak-pihak terbabit gagal atau dianggap telah gagal.– BERNAMA