Bukanlah senang membawa gelaran janda namun Mawar Rashid melihat penceraian itu sebagai perjalanan baru dalam kehidupan bersama anak-anak.
Selepas enam tahun mendirikan rumah tangga, Mawar and Raf Yaakob akhirnya sah bercerai tahun lepas.
Pelakon berusia 29 tahun itu juga menganggap dirinya adalah seperti gelas kosong dan inilah fasa baru hidupnya lapor Kosmo! Online.
“Ini adalah fasa baharu dalam hidup saya dan ini adalah diri saya yang baharu.
“Semuanya mula semula dan saya anggap diri saya seperti gelas kosong,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Jaga aib keluarga
Walaupun pelbagai desas-desus timbul mengenai punca penceraian, Mawar mengambil langkah mendiam diri demi menjaga hati anak.
“Saya berpegang kepada prinsip untuk tidak berkongsi isu peribadi pada umum sebab saya ada anak-anak. Nanti mereka besar, akan baca perkara yang tak sepatutnya.
“Saya juga menghormati pihak yang terlibat. Namun, apa yang boleh saya cakap, saya gembira dan bersyukur dengan peluang yang saya terima sekarang,” ujarnya.
Keadaan mental kembali pulih
Sebelum ini Mawar pernah mendedahkan dirinya mengalami serangan panik hingga membuat keputusan untuk tidak berhijab namun semuanya sudah kembali pulih.
“Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik, tiada lagi serangan panik. Walaupun ada beberapa dugaan besar dalam hidup saya, saya kini lebih gembira,” jelasnya lagi.