Malaysia Dateline

Mayat lelaki tempatan dalam bonet kereta disyaki dibunuh, 7 warga asing ditahan

Susulan penemuan mayat seorang lelaki tempatan di dalam bonet kereta di Jalan Tugu pada Isnin, 7 warga asing telah ditahan pihak polis.

Penahanan 7 warga asing ini kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata lima lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 26 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima maklumat berkenaan si mati pada 6.40 pagi.

Menurutnya lagi, siasatan di tempat kejadian menemukan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun di dalam bonet kereta dan hasil pemeriksaan mendapati dia sudah meninggal dunia.

“Susulan itu, pada 12.45 tengah hari polis menahan lima individu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 20 tahun hingga 24 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata hasil soal siasat, kurang daripada empat jam kemudian pihaknya menahan dua lagi suspek iaitu lelaki berusia 26 tahun dan wanita berusia 22 tahun.

Encik Noor Dellhan berkata motif serta punca kejadian masih dalam siasatan dan permohonan reman ke atas kesemua warga asing tersebut akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya, dipetik Bernama.

Baca juga: Anak risau Najib tidak dapat minum Starbucks semenjak dipenjara

Baca juga: Wanita usia 73 tahun meninggal ketika beriadah