Malaysia Dateline

Mayat pelancong rakyat Korea Selatan yang hilang di Thailand ditemui

Mayat seorang pelancong rakyat Korea Selatan telah ditemui di Thailand selepas dia dilaporkan hilang ketika menyeberangi sungai di sebuah kawasan padang golf awal minggu ini, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Kementerian Luar Seoul pada Khamis.

Pasukan penyelamat Thailand menemui mayat mangsa pada Rabu malam.

Mangsa adalah seorang daripada dua rakyat Korea Selatan yang terjatuh ke dalam sungai ketika pulang ke hotel mereka selepas bermain golf di Phitsanulok, Thailand tengah, pada Selasa.

“Mayat itu telah disahkan sebagai seorang daripada pelancong rakyat Korea Selatan yang hilang selepas keluarga mangsa memeriksa jasad tersebut dan barangan miliknya, termasuk sekeping kad kredit,” kata seorang pegawai kementerian itu yang enggan dikenali.

“Kedutaan Korea Selatan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan akan melakukan yang terbaik bagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang,” katanya.

Kerajaan Thailand telah membentuk pasukan penyelamat yang terdiri daripada 150 orang, termasuk anggota polis dan pakar penyelamat awam.

— BERNAMA