Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr Gunaraj George mendakwa keadaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang semakin buruk dengan jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat dan meninggal dunia meningkat saban hari.
Menurut wakil rakyat PKR itu, hospital tersebut sedang bergelut untuk menangani jumlah pesakit yang positif Covid-19 dan meninggal dunia yang sudah melewati kapasiti.
Pada masa ini, jelasnya, kerajaan bukan sahaja perlu menambah infrastruktur kesihatan seperti fasiliti Unit Rawatan Rapi (ICU), tangki oksigen, alat ventilator dan katil pesakit dinaik taraf, tetapi kerajaan wajib menambah kontena sejuk beku bagi membolehkan mayat pesakit Covid-19 ditempatkan secara teratur.
“Saya telah menerima panggilan telefon daripada beberapa orang waris keluarga pesakit Covid-19 yang telah meninggal dunia yang menzahirkan rasa dukacita mereka tentang tatacara pengurusan mayat di HTAR Klang.
“Bilik mayat di HTAR Klang yang telah berada pada tahap kapasiti penuh telah menyebabkan mayat pesakit Covid-19 hanya ditempatkan di atas lantai secara berlapis.
“Amat memilukan apabila tatacara pengurusan jenazah tidak diurus dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penghormatan terakhir
Dr Gunaraj berkata, amat mendukacitakan apabila keluarga waris pesakit Covid-19 tidak dapat memberi penghormatan terakhir kepada ahli keluarga yang telah terkorban.
Jelasnya, keadaan diburukkan lagi dengan proses tatakelola pengurusan mayat yang mengambil masa berhari-hari selepas pesakit meninggal dunia.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak hospital perlu segera menguruskan mayat untuk proses pengebumian mengikut agama masing-masing agar waris dapat memberi penghormatan terakhir.
“Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesedihan waris yang telah kehilangan ahli keluarga,” ujarnya.
Untuk rekod, setakat semalam terdapat 7,662 kes Covid-19 dalam tempoh 14 hari di daerah Klang yang merangkumi Mukim Kapar dan Klang.
Mengulas peningkatan kes harian positif Covid-19 di Klang sejak beberapa bulan lalu, Dr Gunaraj berpendapat adalah tidak masuk akal apabila KKM dan HTAR tidak dapat membuat persediaan awal sewajarnya.
“Pengurusan krisis yang sangat lemah dan kurang koordinasi menyebabkan keadaan di HTAR semakin parah,” tegasnya.
Justeru, Dr Gunaraj yang juga Ketua PKR Cabang Kota Raja itu berkata, Pengarah HTAR Klang wajar memaklumkan dan memohon bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Selangor sendiri jika kelembapan daripada pihak KKM untuk membuat persediaan awal mendepani krisis ini.
“Nyawa rakyat sekali lagi menjadi taruhan jika pengurusan krisis dan bencana Covid-19 tidak dijalankan secara kolektif dan koordinasi yang baik bersama semua pihak,” tambahnya lagi.