Mazlan berhasrat tingkatkan pendapatan petani, peladang

Mazlan berhasrat tingkatkan pendapatan petani, peladang

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) baharu dilantik Mazlan Aliman mahu memastikan pengalamannya selama tiga dekad memperjuangkan nasib peneroka Felda akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memastikan nasib golongan petani dan peladang dapat dipertingkatkan di negara ini.

“Sedikit sebanyak pengalaman di Felda akan dimanfaatkan bagi meningkatkan pendapatan golongan petani dan peladang,”ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa syukur dengan pelantikannya sebagai Pengerusi LPP yang baharu akan berkuatkuasa pada 1 November depan.

Watikah pelantikan beliau telah disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub di kementerian hari ini.

Ditanya mengenai hasrat beliau selepas dilantik, Mazlan yang juga Naib Pengerusi AMANAH Negeri Johor berkata, akan mengadakan kunjungan dan lawatan ke Pertubuhan Peladang seluruh negeri.

“Peringkat awal, saya berhasrat untuk berkunjung ke semua Pertubuhan Peladang Negeri untuk mendapatkan lebih banyak input dari bawah.

“Barulah nanti ide dan pendekatan baharu akan saya fikirkan agar dapat dikemukakan kepada agensi ini,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan terima kasih atas kepercayaan Menteri Pertanian serta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberikannya peluang untuk bersama kerajaan Pakatan Harapan memberikan khidmat dalam agensi di bawah kementerian itu.

Pelantikan beliau itu turut disaksikan isterinya  Hatijah Mohamaed Jani dan anaknya Burhanuddin Al-Helmi Mazlan.

Selain Mazlan turut diberikan watikah pelantikan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pengarah Urusan IM Global Ismail sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).