Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir Muhammad Faiz Fadzil dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini.
Turut dilantik Pengarah Urusan IM Global Ismail sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
LPP, LKIM dan FAMA adalah antaran agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Watikah pelantikan bagi tiga agensi itu disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub hari ini di ibu pejabat kementerian di Putrajaya. Turut hadir Timbalan Menterinya Sim Tze Tzin.
Semua tiga pelantikan hari ini akan memulakan tugas mereka berkuatkuasa 1 November sehingga 31 Oktober 2020 dalam tempoh dua tahun pelantikan pengerusi tiga agensi tersebut.
Pelantikan Mazlan, Faiz dan Ishak dipersetujui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Salahuddin beliau mengharapkan pelantikan tersebut akan membawa perubahan kepada tiga agensi di bawah kementerian itu.
Beliau turut ditanya mengenai pelantikan Naib Pengerusi AMANAH Johor dan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH itu sebagai Pengerusi LPP dan LKIM.
“Kita mengambil ketetapan melantik atas keupayaan dan merit dalam agensi di bawah kementerian. Pelantikan Mazlan dikenali sebagai orang politik tetapi jasa dan perjuangannya kepada golongan peneroka, kita beri peluang untuk dibuktikan keupayaannya.
“Faiz seorang peguam, berbakat dan berkeupayaan dalam urustadbir untuk menyumbang kepada LKIM. Walaupun mereka ( Mazlan dan Faiz) dikenali sebagai ‘orang politik’ tetapi kita ambil kira kebolehan, pengalaman, keupayaan dan profesonalisma dalam bidang masing-masing,” ujar Salahuddin.
Salahuddin juga berkata kementerian akan melantik tiga lagi pengerusi baharu iaitu agensi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) ,Lembaga Kemajuan Perindustrian Muda (MADA) serta Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (MPIB) yang kini masih menunggu kelulusan dan dijangka akan diumumkan pada minggu depan.