Mazlan mahu pegawai bersungguh jayakan reformasi ‘meremajakan’ peladang

Mazlan mahu pegawai bersungguh jayakan reformasi ‘meremajakan’ peladang

MUKADIMAH

Sejam lebih menemubual Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), DATUK MAZLAN ALIMAN di Menara LPP, Jalan Sultan Salahuddin di ibu negara dapat dirumuskan Anggota Jawatankuasa AMANAH Nasional ini bukan main-main dengan tanggungjawab dipikulnya.

Selepas dilantik pada 19 Oktober tahun lalu, bekas Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) ini ligat dengan fokus untuk mereformasi LPP antaranya meremajakan peladang dan melahirkan agropreneur muda B40.

Ikuti wawancara bersama wartawan Malaysia Dateline, ARIF ATAN dan kolumnis AHMAD LUTFI OTHMAN serta jurugambar SYAFIQ ISKANDAR baru-baru ini yang turut mengupas tentang iltizamnya untuk melihat produk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) lebih meluas menjangkau ke pasaran antarabangsa.

 

MALAYSIA DATELINE: Apakah cabaran awal yang dihadapi sejurus diberi tanggungjawab menerajui LPP?

DATUK MAZLAN ALIMAN: Kita berdepan cabaran dengan sejauh mana pegawai kerja boleh melaksanakan polisi yang kita putuskan. Paling penting, bagaimana mereka hendak sesuaikan diri dengan kerajaan baru.

Ada mereka yang ‘biru’ (penyokong BN). Pemain-pemain yang ada ini sama ada orang politik atau pegawai kerajaan, mereka mesti bersama dengan kerajaan yang memerintah. Ada juga yang tidak bersedia untuk mematuhi terutama yang ‘biru’ ini.

Bila mereka tidak ikut, kita tidak boleh hendak implementasikan polisi baru. Kadang-kadang pengurus besar yang dibayar gaji oleh LPP malu alah dengan mereka yang di bawahnya.

Menjadi tugas penting untuk pengurus besar ini hendak harmonikan supaya polisi kerajaan baru ini dapat dilaksana.

Kita sudah panggil semua pengurus besar di 279 PPK di seluruh negara. Ada slot untuk modul apa yang perlu kita lakukan supaya aspirasi kerajaan hari ini dapat diimplementasikan.

Orang pertama yang patut faham ialah pengurus besar. Kalau mereka terikut polisi lama, apa pun tidak berubah. Apa nikmat yang boleh dirasai 5,000 ahli Peladang? Isu ini dibincang oleh LPP sejak ditubuhkan untuk meningkatkan pendapatan petani.

 

Apakah bentuk reformasi yang telah dilaksanakan?

MAZLAN ALIMAN: Kita telah melaksanakan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 berkuat kuasa 1 Mei lalu. Pindaan ini penting dan mesti dibuat untuk mencapai hasrat reformasi.

Lantikan menteri untuk Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan AJP Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) semuanya disemak.

Lantikan menteri ini bila kita hantar nama kepada menteri kita akan semak apa kelayakan, latar belakang mereka.

Mereka mesti ada kelayakan bagaimana untuk melakukan reformasi. Orang begini nanti yang bantu untuk implementasi polisi baharu kita dalam membela peladang.

Mereka inilah yang akan membantu calon-calon dalam pemilihan untuk membentuk satu pasukan yang mantap melalui pindaan yang mesti dibuat.

Kalau tidak, bagaimana hendak dibuat reformasi. Ini yang buatkan sesetengah pihak tidak puas hati lantaran sudah selesa dengan status quo.

Jika tiada political will (kesungguhan politik) melalui pelaksana kita di peringkat bawah, jadi bagaimana kita hendak melaksanakan reformasi.

Kalau hanya menteri dan Pengerusi LPP saja bercakap, siapa yang akan pandang. Kita gerakkan polisi dan bagaimana reformasi itu dibuat.

 

Bagaimana dengan proses meremajakan peladang?

MAZLAN ALIMAN: Ada orang yang puluhan tahun pegang PPK. Sudah tiba masa kita mesti meremajakan PPK dengan mengambil kira potensi anak muda, teknologi, wawasan dan idea mereka. Jumlah orang muda dalam komposisi peladang yang ada sekarang ini hanya 15 peratus.

Sekurang-kurangnya, kita hendak capai 30 peratus. Barulah nampak seimbang. Salah satu usaha kita, penjenamaan semula Kelab Pertanian di sekolah. Kita pilih sekolah untuk pendedahan awal bagaimana pelajar sekolah menengah bagi melahirkan golongan belia yang memilih petani moden sebagai kerjaya masa depan mereka selepas habis sekolah.

Kita buat penjenamaan semula Projek Kelab Pertanian Sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan kepada My Green Team yang dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Indusrtri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub di SMK Dato’ Penggawa Barat Pontian, 28 April lalu.

Sekolah itu mesti ada kriteria yang kita tetapkan untuk menerima bantuan geran setiap RM10,000 bagi setiap sekolah.

Dengan ini, aktiviti-aktiviti pertanian di sekolah mesti berkait langsung dengan teknologi. Sekolah tidak boleh guna kaedah lama yang sukar menarik minat pelajar.

Guna kaedah baru fertigasi, telefon pintar untuk alirkan air dan baja kepada tanaman. Pendedahan-pendedahan menerusi modul ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan golongan belia daripada 15 kepada 30 peratus sebagai petani moden.

Harapannya nanti, industri pertanian kita akan berkembang pada masa depan. Ini antara reformasi yang kita lakukan.

 

Bagaimana tentang fokus LPP untuk melahirkan usahawan tani muda?

MAZLAN ALIMAN : LPP ada pembangunan usahawan dengan meningkatkan program agropreneur muda di peringkat kawasan. Kita ada kawasan yang akan diplotkan. Setiap peserta ada tanah masing-masing. Contohnya, untuk tanaman cili, mereka diberi dalam 2,000 polibeg ikut keluasan tanah.

Bila kita buat dalam jumlah besar, dalam bentuk komuniti dan kalau guna aplikasi kos jadi lebih rendah. Contoh PPK Kuala Langat dengan kos RM20,000. Bayangkan kalau seorang saja peserta, teruklah nak tanggung kos.

Semuanya menjurus kepada kaedah teknologi termasuk sekarang kalau membajak dan menanam semua guna jentera. Jadi, golongan muda kita terasa pertanian bukan satu yang memenatkan malah kerjaya menguntungkan. Persepsi itu berdasarkan apa yang kita buat. Ini yang kita sedang lakukan.

 

Adakah aspek pemasaran produk juga terangkum dalam usaha reformasi LPP?

MAZLAN ALIMAN: Ya. Sudah tentu sekali. Selama ini, produk petani kita keluarkan banyak tapi timbul tanda tanya, mana pergi produk itu. Saya pun selalu tanya, produk itu ada di mana.

Jelas, kita ada masalah pemasaran. Dalam LPP kita ada Bahagian Perniagaan Tani yang uruskan pemasaran. Bagaimana hendak kita mulakan sebab kena ambil kira juga, selain pembungkusan, kena ada sijil halal dan lain-lain sebelum dipasarkan tanpa masalah di sisi Kementerian Kesihatan.

Sekarang Bahagian Perniagaan Tani sedang menyenaraikan semua produk yang menepati kehendak semua pihak terlibat. Dengan ini produk-produk itu nanti boleh diletakkan di mana-mana pasar, agro bazar dan super market.

Sasaran kita untuk dalam tempoh dua tahun, kita hendak menubuhkan hypermarket digital peladang yang pertama di Malaysia berkonsepkan urus niaga tani atas talian.

Sebab produk dari LPP tentulah kita yang bertanggungjawab. Bagaimana kita hendak memasarkan produk kita, kalau tidak hanya berlegar dalam ruang yang kecil?

Mereka sudah buat susah payah tiba-tiba hanya berlegar kecil. Ini yang kita mahu bantu dan tentunya memerlukan reformasi.

Tanah LPP untuk pembinaan hypermarket digital peladang yang boleh menempatkan semua produk kita termasuk sayur dan ikan itu sudah ada, tiga ekar di Skudai. Kita akan angkat cadangan kepada kerajaan selepas selesai semua hal teknikal.

Lokasi itu dipilih sebab bersebelahan dengan Singapura supaya saiz pemain industri lebih besar dan boleh pergi ke peringkat antarabangsa.

Mazlan ketika diwawancara Ahmad Lutfi Othman (tengah) dan Arif Atan di Menara LPP, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur baru-baru ini.