Mazlan mampu cetus tsunami di kawasan Felda, kata PPBM

Mazlan mampu cetus tsunami di kawasan Felda, kata PPBM

Tindakan terbaru penguasa menahan Mazlan Aliman di bawah Akta 233 Akta Komunikasi adalah langkah terdesak kerana momentum yang digerakkan beliau di kawasan Felda bakal menjadi tsunami dalam pilihan raya umum (PRU) nanti, kata Pengerusi Taskforce Felda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil.

Ujar beliau, sejak PPBM menubuhkan badan bertindak Felda, beliau selaku pengerusi sering bekerjasama dengan Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) itu bagi mengatur program penerangan di tanah-tanah rancangan Felda.

“Berbeza dengan penceramah lain, termasuk saya sendiri, Mazlan mengenali Felda macam ‘belakang tangan dia saja’. Dia menguasai statistik-statistik, details dan maklumat yang bertulis atau tersirat, lantaran pengalaman selama 30 tahun mendengari denyut nadi Felda.

“Beliau juga mempunyai jaringan luas, termasuk ‘fifth column’ dalam Felda. Masih ada pegawai Felda yang mempunyai hati nurani dan ‘moral compass’ yang ingin maklumat diterima kepada tangan yang boleh menjadikannya fakta, setidak-tidaknya mengekang penguasa dari ‘Beraja di mata dan bersultan di hati’,” jelas beliau.

Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil

Wan Mohd Shahrir menambah, masalah utama dihadapi Mazlan adalah sekatan terhadap ceramahnya dan kehadiran peneroka yang ‘takut-takut’ ke majlis ceramah beliau walaupun data dan maklumat yang diketengahkan Mazlan jitu.

Namun jelas beliau, keadaan bertukar apabila PPBM menerobos ke kawasan Felda dan beberapa siri ‘Semarak Kasih Felda’ yang diatur dengan PPBM dan Anak menukar kehadiran dari puluhan ke ribuan manusia.

“Mungkin kehadiran didorong oleh aura (Pengerusi Pakatan Harapan) Tun Dr Mahathir.

“Di Taib Andak kehadiran seramai 2000 orang, Jengka 8 seramai 2500, Lubuk Merbau sekitar 2000, Kota Tinggi 4000 dan Jengka Pusat seramai 1500 walau dalam hujan.

“Ada beberapa siri lagi jelajah Semarak Kasih Felda yang kehadirannya tidak menghampakan tetapi yang disebutkan sebagai contoh,” katanya.

Perkembangan baru ini, jelas Wan Mohd Shahrir membuatkan Mazlan sangat teruja kerana selama ini mesej jitu beliau tidak sampai ke kumpulan sasar kerana kehadiran yang kurang.

Pihaknya dan Anak merancang beberapa siri jelajah Felda menjelang PRU di kawasan parlimen-parlimen tumpuan boleh menang.

Menurut Wan Mohd Shahrir, walaupun bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad berjaya dalam saman fitnahnya terhadap Mazlan sehingga beliau tidak boleh bertanding akibat muflis, keputusan mahkamah itu tidak mengurung niat Mazlan untuk terus berjuang.

“Marilah kita sama-sama berusaha agar beliau boleh meneruskan usaha murni beliau. Kita semua bangkit sebagai Mazlan Aliman kerana beliau adalah kita!

“Kita semua adalah Mazlan Aliman. Bersatu!” tegas Wan Mohd Shahrir.

7.0
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 6.5