Mazlan nafi mahu Muhyiddin jadi ketua Pakatan Harapan ganti Anwar

Mazlan nafi mahu Muhyiddin jadi ketua Pakatan Harapan ganti Anwar

Ahli jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional Mazlan Aliman menafikan laporan The Star bahawa parti itu bersetuju untuk memilih bekas timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua Pakatan Harapan yang baru.

Menyifatkan laporan tersebut jauh tersasar daripada apa yang diperkatakannya, Mazlan meminta The Star membetulkan laporan tersebut dan jika akhbar berkenaan enggan berbuat demikian beliau akan mengambil tindakan undang-undang.

“Laporan itu tidak betul sama sekali dan jauh tersasar daripada apa yang saya katakan.

“Saya katakan laporan tersebut jelas berniat jahat dan mahu memporak perandakan Pakatan Harapan,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Mengulas lanjut, Mazlan yang juga naib pengerusi Amanah Johor berkata, beliau didatangi pemberita selepas sidang media parti itu semalam dan diminta mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang mahu Muhyiddin menjadi ketua Pakatan Harapan.

“Pemberita itu bawa pandangan itu kepada saya dan saya katakan memang ada pandangan dari pihak luar.

“Tapi siapa Amanah Johor untuk buat keputusan? Soal memilih ketua terserah kepada Amanah Nasional dan Majlis Presiden Pakatan Harapan. Tidak timbul isu saya katakan kami mahu Muhyiddin jadi ketua.

“Fokus kami mengajak Muhyiddin menyertai Amanah untuk sama-sama memperjuangkan isu-siu integriti dan sabagainya,” jelasnya.

Amanah Johor semalam secara terbuka menawarkan Muhyiddin untuk menyertai parti tersebut.

Dalam satu sidang akhbar di Johor Bahru pagi semalam, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan berkata, Amanah negeri menyediakan platform kepada Muhyiddin untuk bergerak dan sedia menjelaskan isu berkaitan penyelewengan dalam negara khususnya 1MDB.

Muhyiddin dipecat daripada Umno minggu lalu bersama bekas menteri besar Kedah Datuk Sri Mukhriz Mahathir.

Muhyiddin bagaimanapun membayangkan beliau akan bergerak bersama parti baru yang menyerupai Umno.

COMMENTS

Wordpress (0)