Malaysia Dateline

Mazlan nafi ugut pentadbir negeri

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mazlan Bujang hari ini menafikan beliau bertindak mengugut seorang pegawai pentadbir negeri supaya kilang-kilang yang disita di Pasir Gudang ekoran kejadian pencemaran, dibenarkan beroperasi semula seperti biasa.

Mazlan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, berkata isu ugutan itu adalah fitnah dan berniat jahat untuk menimbulkan persepsi kurang baik beliau terhadap masyarakat selain dimanipulasikan daripada keadaan sebenar yang berlaku.

“Saya maklum mengenai kejadian ini, tetapi ia bukan apa sebenarnya yang berlaku. Sebagai wakil rakyat, saya memang ada didatangi beberapa pengusaha premis dari kawasan itu (Pasir Gudang), yang kesemua mereka ini tiada kaitan pun dengan kilang-kilang haram di Pasir Gudang.

“Mereka adalah orang tempatan yang merupakan pengusaha kedai cuci kenderaan dan gerai-gerai yang diarahkan supaya ditutup oleh pihak berkuasa,” katanya yang dihubungi di sini.

Mazlan berkata sebagai seorang wakil rakyat juga, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membantu pengusaha premis berkenaan dengan bertindak menghubungi pihak berkuasa untuk bertanyakan mengapa arahan penutupan itu boleh berlaku.

“Tiada sedikit pun perkara ini bersifat peribadi, ugutan atau pun seperti didakwa bahawa kuasa saya sebagai Pengerusi Bersatu negeri adalah sama atau lebih besar daripada Menteri sehingga boleh mengatasi arahan daripada Menteri,” katanya.

Justeru, Mazlan berkata beliau akan membuat laporan polis, esok, berhubung isu berkenaan supaya siasatan lanjut mengenai dakwaan itu boleh dilakukan.

Terdahulu, wujud dakwaan menerusi satu laman Facebook yang bersertakan satu laporan polis mengatakan Mazlan mengugut seorang pegawai kerajaan untuk memastikan premis di Pasir Gudang yang telah disita dibenarkan beroperasi semula.