Mazlan nasihatkan media patuhi arahan polis semasa liputan bicara Najib

Mazlan nasihatkan media patuhi arahan polis semasa liputan bicara Najib

Datuk Seri Mazlan Lazim

Pengamal media yang membuat liputan kes perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, diminta agar mematuhi peraturan dan arahan petugas polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata ini kerana kawasan kompleks mahkamah berkenaan adalah kawasan larangan dan mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi.

Mazlan meminta pengamal media dan orang ramai agar tidak melakukan perkara yang menyalahi peraturan.

“Saya berharap mereka (pengamal media) mematuhi arahan polis serta tidak berada di kawasan larangan yang ditetapkan oleh mahkamah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengenai tahap kawalan keselamatan polis di kompleks mahkamah itu, Mazlan berkata keadaan amat terkawal dan pihaknya telah menempatkan pegawai serta anggota polis yang secukupnya.

Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam mengesahkan Najib ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pukul 2.35 petang.

Najib ditahan berkaitan kes penyelewengan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Hari ini, Najib telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

CATEGORIES