Malaysia Dateline

Mazlee kempen bantu rakyat Sabah hadapi Covid-19

Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, merayu agar orang ramai dapat membantu rakyat Sabah yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah dikuatkuasa di negeri itu.

Sehingga semalam, keseluruhan mereka yang dijangkiti wabak Covid-19 di negeri bawah bayu mencatat 5,064 kes dengan semalam sahaja merekodkan 443 kes.

Beliau berkata, Rejuvenasi Pendidikan kali ini akan bekerjasama dengan sekumpulan anak muda dikenali sebagai Sempoerna Heroes bagi meringankan beban warga Sabah.

Pakej Bantuan ‘Kita jaga Sabah’ yang dijalankan oleh Dr Maszlee Malik

“Saya sendiri dihubungi di laman media sosial, memohon pelbagai bantuan oleh ramai pihak di sana.

“Antara bantuan yang sangat kritikal adalah bantuan sara hidup dalam bentuk makanan serta bantuan kesihatan seperti ubat-ubatan.

“Saya dengan ini merayu semua untuk meringankan beban mereka, tanpa mengira berapa sumbangan sekalipun.

“Mungkin RM5 atau RM7 yang kita sumbangkan akan menjadi asbab kepada makan minum anak-anak dan warga yang terjejas di sana,” katanya dalam satu muatnaik video di Facebooknya hari ini.

Untuk rekod, 11 daerah telah dikategorikan sebagai zon merah termasuk Semporna, Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Tuaran, Kunak, Papar, Penampang, Putatan dan Kota Belud.

Disebabkan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengumumkan PKPB di seluruh negeri Sabah yang berkuatkuasa semalam.