Malaysia Dateline

MB, Exco kena ikut juga potong gaji

Pengumuman pemotongan untuk dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri tidak boleh berhenti di situ sahaja tetapi patut diikuti oleh menteri besar dan exco kerajaan negeri.

Demikian dinyatakan oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya lagi, pemotongan gaji tersebut bukan sahaja wajar tetapi suatu kemestian memandangkan segala bantuan perlu disalurkan segera kepada petugas barisan hadapan serta meningkatkan kapasiti agensi kesihatan negara bagi menampung perbelanjaan membendung penularan wabak Covid 19.

“Keputusan ini adalah bertepatan untuk menangani pendapatan rakyat bawahan yang hilang pekerjaan dan terputus sumber pendapatan.

“Kadar pemotongan harus dimaklumkan agar rakyat dapat mengetahui jumlah sumbangan bagi membantu tabung yang telah diwujudkan oleh kerajaan tersebut.

“Malah seluruh wakil rakyat Dun dan Parlimen perlu sama-sama mencari kaedah bagaimana masing-masing dapat menyumbang dari elaun mereka bagi tujuan yang sama,” ujarnya lagi.

Menurut Mohd Azmi lagi, Menteri Besar, Ketua Menteri maupun exco kerajaan negeri harus juga mengambil langkah yang sama agar mereka dapat merasai kesukaran yang dihadapi oleh rakyat dan bekerja keras mengatasi krisis yang melanda.

Tambahnya, rasa kebersamaan dengan rakyat tidak harus hanya diluah pada tutur kata semata-mata, sebaliknya hendaklah dibuktikan dengan tindakan zahir jua.