MB Johor didesak tangguhkan projek Bukit Payong

Wakil penduduk kampung dan NGO Bukit Payong menyerahkan memorandum ke pejabat MB Johor Datuk Osman Sapian.

Haji Khairuddin A Rahim

Projek ‘Penyediaan Tapak Pelupusan Sisa Pepejak Sanitari’ di Bukit Payong Batu Pahat kini telah dimulakan pembinaannya.

Perkara tersebut menjadi kegusaran kepada penduduk kampung berdekatan yang selama ini membantah projek tapak pelupusan berkenaan kerana ia dibina terlalu hampir dengan kediaman mereka.

Menurut Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, YB Haji Khairuddin A Rahim, pihaknya mendapat laporan dari pihak penduduk serta NGO Bukit Payong tentang permasalahan ini.

Sebelum ini, pihak penduduk telah memohon agar projek tersebut dipertimbangkan untuk dihentikan atau ditangguh berikutan jarak yang hampir serta berlakunya pencemaran bau dan sebagainya.

“Pemantauan dan aduan yang diterima, projek tersebut masih berjalan dan lebih memeritkan lagi kontraktor projek itu dilihat lebih aktif dalam menjalankan pembinaan tapak pelupusan tersebut.

“Kami mendesak agar pihak kerajaan negeri segera mengambil tindakan yang proaktif dalam menangani isu Bukit Payong ini sama ada dihentikan atau ditangguhkan,” Khairuddin ketika dihubungi.

Khairuddin yang juga merupakan Adun Senggarang mendakwa, isu Bukit Payong sebelum ini menjadi simbol kerakusan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan menjelaskan akan membawa perkara ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Memorandum penduduk kampung dan NGO Bukit Payong telah diserahkan kepada Menteri Besar (MB) Johor Datuk Osman Sapian namun masih tiada sebarang respons yang diberikan.

“Desakan akan dilakukan terhadap MB supaya projek ini ditangguhkan bagi menyemak semula perjanjian atau dihentikan dan MB perlu segera memberi respon,” YB Haji Khairuddin A Rahim.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, penduduk kampung Bukit Payong telah membuat kenyataan sebulat suara untuk menyokong PH sebagai tanda protes terhadap isu projek tersebut.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS