Malaysia Dateline

Khaled Nordin Johor

MB Johor lepas tangan isu perpaduan kaum, kata Amanah

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar atas) didakwa tidak bertanggungjawab dalam isu perpaduan di negeri ini sehinggakan perkara berkenaan dengan ketidak tenteraman kaum terpaksa diselesaikan oleh Tuanku Sultan Johor.

Hal itu disuarakan oleh Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor Suhaizan Kaiat, ketika ditanya berkenaan dengan maklum balas dalam isu perobohan kuil di Masai Johor baru-baru ini.

Suhaizan Kaiat

Suhaizan berkata perkara itu telah mengundang rasa kurang senang di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini yang mengharapkan suatu kata putus disuarakan oleh pihak Kerajaan Negeri Johor.

“Khaled sememangnya bersikap mendiamkan diri dan membiarkan apa yang berlaku di kalangan masyarakat di negeri ini diselesaikan oleh pihak lain. Ia menunjukkan bahawa tahap kepimpinan beliau tidak mencerminkan untuk membela keharmonian di negeri ini.

“Bukan setakat itu, dalam isu rasuah sebelum ini yang membabitkan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor, beliau mengambil tindakan mendiamkan diri dan tidak ada langsung suatu respon atau maklum balas yang menerangkan diri beliau terlepas dari isu rasuah berkenaan secara konkrit.

“Khaled sepatutnya menyelesaikan perkara ini secara konsisten bukan dengan melepas tangan sehingga membuatkan masyarakat terpaksa untuk mengambil insiatif menyelesaikan perkara itu secara persendirian,” ketika ditanya kepada beliau.

Suhaizan ditemui dalam satu program ‘Sembang Santai Bersama Bekas Pimpinan Pas, Datuk Mahfuz Omar’ di Pusat Perindustrian Kempas, Johor Bahru.