Malaysia Dateline

MB Johor mahu kerajaan negeri beri khidmat terbaik kepada rakyat

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menyifatkan sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kabinet Persekutuan hari ini, bertujuan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Osman berkata, pihaknya bekerja untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat, sekali gus berhasrat melihat Johor sebagai negeri berprestasi tinggi dan berkembang maju.

Beliau berkata, secara purata, negeri di bawah pentadbirannya itu menyumbang 9.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Johor dikenal pasti sebagai salah sebuah negeri diiktiraf termaju dengan prestasi ekonomi yang teguh dan stabil.

“Dalam pada itu, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri terus rancak, kerajaan negeri akan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Johor.

“Majlis itu akan dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan senarai ahli jawatankuasa majlis tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kabinet Persekutuan di Hotel Pulse Grande, Putrajaya.

Osman berkata, sesi perbincangan ini juga, antara lain berfungsi sebagai medan mengeratkan hubungan bekerja antara wakil rakyat kerajaan dengan pegawai awam bersama Kerajaan Johor serta Persekutuan.

Sementara itu, Osman menambah, dengan mengambil kira kekuatan setiap daerah di Johor, kerajaan negeri sedang merangka untuk membangunkan potensi yang ada, agar wujud keseimbangan dan menghapuskan jurang kemajuan setiap daerah.