MB Johor perlu hentikan projek Bukit Payong

MB Johor perlu hentikan projek Bukit  Payong

Bukit Payong, daerah Batu Pahat yang menjadi isu berbangkit baru-baru ini menjadi perkara yang perlu ditangani segera. Gerakan penduduk sebelum ini bukan sahaja pada tahap setempat tetapi ia telah digerakkan dengan meluas sehingga ke peringkat nasional. Pelbagai kempen yang dijalankan agar Bukit Payong menjadi perhatian ramai.

Sebelum ini, di zaman pemerintahan Umno Barisan Nasional (BN), penduduk kampung telah dibuang suara mereka sehinggakan penduduk membuat suatu tindakan menolak Umno BN pada dua pilihan raya sebelum ini (PRU13 dan PRU14). Hakikatnya penduduk berharap pada pemerintahan yang baru ini mampu melakukan sesuatu yang lebih baik.

Hal inilah yang berbangkit kembali di mana sekali lagi penduduk meletakkan harapan mereka untuk bertemu dengan Menteri Besar (MB) Johor yang baru, Datuk Osman Sapian bagi menjelaskan hal berkenaan projek Bukit Payong.

Projek ‘Penyediaan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari’ yang telah memulakan projek di Bukit Payong mengundang kemarahan penduduk. Ini kerana projek yang bakal menempatkan sampah itu akan dibina berjarak kurang satu kilometer dari kampung di sekitar kawasan tersebut.

Selain itu, Bukit Payong juga merupakan tempat tumpuan orang ramai terutamanya bagi pendaki yang mahu menikmati keindahan alam di Johor. Daerah Batu Pahat ini akan mempamerkan suasana yang kurang senang dan ia sekaligus akan membawa pencemaran yang bakal berlaku di kawasan berdekatan.

Panorama dari puncak Bukit Payong dan tempat yang memang menjadi tumpuan bagi aktiviti riadah.

Sebelum ini pelbagai janji dari pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang menyuarakan hasrat untuk membantu bagi menyelesaikan permasalahan tersebut dengan menghentikan serta menukar tempat tapak pelupusan tersebut. Dari situlah, hari ini penduduk yang mahu janji yang disuarakan oleh mereka tertunai.

Ia bukan soal tidak memberi peluang kepada kerajaan yang baru, tetapi menurut responden yang dihubungi, tapak tersebut sebelum ini tidak ada sebarang aktiviti pembinaan namun baru-baru ini selepas PRU14, projek di tapak tersebut telah bermula dan ini mengundang kegusaran penduduk.

Desakan telah dibuat oleh penduduk yang mahukan kampung serta sumber asli di kawasan tersebut terpelihara. Dalam pandangan yang lain, MB Johor sepatutnya memberi respon segera dalam isu ini. Ia adalah sebuah cerminan bahawa kerajaan pimpinan PH peka dan mengambil berat tentang permasalahan penduduk serta rakyat.

Reputasi MB Johor hari ini sedang dinilai oleh rakyat yang dahagakan suara mereka didengari kerana sebelum ini mereka telah lama digula-gulakan oleh Umno BN. MB Johor seharusnya mengambil tindakan dengan menangguhkan projek itu seketika sebelum disemak untuk dibatalkan lokasi tapak projek berkenaan.

MB Johor tidak seharusnya membiar perkara ini menjadi barah. Bukit Payong adalah cabaran awal seorang MB yang dilantik di negeri ini bagi mengambil tahu masalah rakyat. Hakikatnya MB Johor hari ini mulai dilihat lemah oleh penduduk dan seluruh rakyat di Johor. Ini adalah suatu petanda yang tidak baik bagi seorang MB yang mewakili PH.

9.3
OVERALL SCORE
: 9.0
3 user votes x 9.3