MB Johor: Rakyat mahu Salahuddin atau Solihin

Antara sokongan orang ramai terhadap Salahuddin sebagai MB Johor di FB Bersatu negeri.

Walaupun Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Osman Sapian mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar negeri di hadapan Sultan Johor pukul 3.30 petang tadi tetapi rata-rata netizen memilih calon lain untuk jawatan tertinggi itu.

Deretan sokongan masyarakat awam terhadap Adun Simpang Jeram, Salahuddin Ayub sebagai Menteri Besar dapat dilihat pada ruangan komentar bagi undian dalam laman Facebook Bersatu Johor.

Sokongan rakyat Johor daripada pelbagai kaum itu turut menyaksikan ramai yang turut melampirkan poster berserta tanda pagar #salahuddinforMBJOHOR.

Untuk rekod, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH menang di N13 Simpang Jeram dengan majoriti 7,687 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Undian awam yang dilakukan Bersatu Johor tidak menunjukkan sokongan kepada Osman Sapian.

Sementara itu, paparan ‘Undian anda untuk calon Menteri Besar Johor dari PPBM’ pula hanya meletakkan dua nama iaitu Adun Tenang, Solihin Badri selain Osman.

Selepas sembilan jam dimuat naik di Facebook, 70 peratus pengguna media sosial itu memilih Solihin yang juga Pengarah Media Bersatu Johor.

Hanya 30 peratus netizen menyokong Osman setakat pukul 6 petang tadi dalam undian yang mula dibuka kira-kira pukul 9 pagi.

Walau bagaimanapun, Osman yang juga Setiausaha Bersatu Johor sah dilantik menjadi Menteri Besar ke-16 dalam ucapara di Balai Mengadap Istana di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar petang tadi.

 

CATEGORIES