Malaysia Dateline

MB Kedah angkuh, kata ketua pemuda AMANAH Kedah dan Pulau Pinang

Pemuda AMANAH Kedah dan Pulau Pinang menempelak keangkuhan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang berhasrat meneruskan aktiviti-aktiviti yang boleh mencemarkan alam sekitar terutamanya Sungai Muda.

Dalam satu kenyataan bersama Pemuda AMANAH kedud-dua negeri itu, mereka menyifatkan, pengumuman Menteri Besar Kedah pada 3 Disember bahawa sebuah syarikat tempatan yang berpusat di Kuala Lumpur telah diberikan kelulusan untuk meneroka dan mengekstrak unsur nadir bumi (REE) di Kedah telah menimbulkan kerisauan dan kegusaran.

Ini kerana, kata mereka, Ulu Muda merupakan kawasan tadahan hujan dan juga merupakan sumber air Sungai Muda.

“Track record kerajaan negeri Pas dalam aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah sangat mendukacitakan.

“Pembalakan yang tidak terkawal di Kedah dan juga Kelantan merupakan testimoni betapa hipokritnya pimpinan PAS yang tidak memegang pada prinsip Maqasid Syariah dalam mengurus tadbir,” kata Mohd Ridzwan Arshad Ahmad, ketua Pemuda AMANAH Kedah dan Muhammad Khairul Mohd Ali, Ketua Pemuda AMANAH Pulau Pinang dalam kenyataan bersama mereka.

Kata mereka, demi kemaslahatan rakyat wilayah utara terutamanya penduduk negeri Kedah & Pulau Pinang, Pemuda AMANAH menyeru agar MB Kedah segera menghentikan kelulusan mengekstrak REE di Ulu Muda.

“Pemuda AMANAH ingin mengingatkan Menteri Besar Kedah agar bertanggungjawab dengan kuasa yang diberikan dan jagalah khazanah alam sekitar bagi rakyat dan generasi akan datang,” kata mereka sambil memetik satu potong ayat Al Quran yang bermaksud.

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki Amalan nya.” (Surah al-A’raaf 7:56).