Malaysia Dateline

MB Kedah dikompaun: Nini Siron syukur fitnah terhadapnya terjawab

Nini Siron, perakam video Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menzahirkan rasa syukur hari ini apabila fitnah ke atasnya akhirnya terjawab.

Beliau yang difitnah ramai pihak ekoran dengan tegas mengatakan Menteri Besar Kedah telah melanggar SOP sehingga beliau digelarkan orang suruhan parti politik tertentu.

“Syukur…Setelah lebih 40 hari, segalanya telah terjawab. Menurut beberapa laporan di media sosial tentang kes langgar SOP MB Kedah, akhirnya arahan untuk kompaun telah dikeluarkan.

“Banyak pihak telah menuduh saya membuat fitnah. Mereka melabel saya sebagai RBA, menggelar saya sebagai anjing parti politik tertentu, mencela dengan kata-kata lucah dan jijik, mengaibkan saya, memaki hamun suami serta adik kakak saya.

“Sebagai orang besar, mereka lantang menyindir saya. Saya diserang secara peribadi juga. Hebat! Tidakkah mereka rasa berdosa atau adakah mereka terkecuali daripada dosa?

“Adakah mereka yang bertanggungjawab akan memohon maaf kepada saya?

“Anda tahu anda siapa,” tulisnya di Facebook.

Untuk pihak polis, beliau mengucapkan sekalung tahniah dan terima kasih kerana memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa undang-undang adalah harapan rakyat.

“Saya semata-mata melakukan apa yang saya rasakan perlu sebagai rakyat biasa,” katanya.

Semalam Polis Pulau Pinang sudah menerima arahan dan akan mengeluarkan kompaun ke atas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam masa terdekat.

Kompaun itu akan dikeluarkan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Pulau Pinang bulan lepas.