MB Kedah dituntut perjelas dakwaan Adun DAP Kota Darul Aman

MB Kedah dituntut perjelas dakwaan Adun DAP Kota Darul Aman

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Anipah dituntut supaya tidak berdiam diri dan menjelaskan dakwaan keraguan peruntukan kewangan yang diragui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Darul Aman, Teoh Boon Kok.

Menurut Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Asmirul Anuar Aris, sepatutnya Ahmad Bashah telah pun menjelaskan perkara ini semasa sidang Dun pada Ogos yang lalu.

Namun begitu, ia tidak dapat diperjelaskan sehinggalah Adun DAP tersebut terpaksa memberi notis seminggu kepada Ahmad Bashah menjawab isu tersebut atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Kenapa sukar bagi Ahmad Bashah untuk menjelaskan dakwaan Adun tersebut bahawa terdapat keraguan dalam tuntutan yang dilaporkan oleh Menteri Besar (MB).

“Tuntutan penyelenggaraan bagi pejabat Dun Kota Darul Aman yang berjumlah RM20,000 adalah tidak jelas dan dituntut penjelasan daripada Ahmad Bashah.

“Selaku MB beliau juga dituntut supaya menjelaskan keraguan mengenai tuntutan melibatkan aktiviti wakil rakyat Dun tersebut yang berjumlah RM17,000,” ujar beliau.

Asmirul Anuar Aris

Malah kata Asmirul lagi, MB juga harus bertanggungjawab dan menjelaskan dakwaan pembelian ‘walkie talkie’ yang berjumlah RM3,500 tanpa lengah sekiranya tiada salah urus atau salah guna dana tersebut.

“Beliau harus menjelaskan perkara tersebut dalam sidang Dun akan datang kerana ia turut dibangkitkan oleh Teoh dalam sidang Dun pada Ogos yang lalu.

“Terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa wujud salah guna dana tersebut apabila ia disalurkan kepada Umno bahagian di Kedah.

“MB tidak harus berdiam diri kerana rakyat Kedah berhak untuk mengetahui kedudukan sebenar ke mana perginya peruntukan seperti yang dibangkitkan oleh Teoh sebagai Adun kawasan terlibat,” tegasnya lagi.

Tambahnya lagi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah boleh melakukan siasatan setelah perkara ini didedahkan oleh Adun tersebut bagi mengetahui kedudukan sebenar mengenai dana tersebut.

“Laporan Audit Negara atau PAC mesti melaporkan perbelanjaan wang tersebut secara jelas dan terperinci tanpa melindungi mana-mana pihak.

“MB seharusnya segera membersihkan nama beliau dengan kadar segera, kerana rakyat Kedah amat meragui situasi yang sedang berlaku kini.

“Seandainya beliau tidak dapat menjelaskan mengenai dakwaan tersebut, maka SPRM harus segera mengambil tindakan dengan menyiasat tanpa menyembunyikan apa juga fakta dan salah laku yang wujud walaupun ia melibatkan kepimpinan Umno Kedah, ” katanya lagi.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES