Malaysia Dateline

MB Kedah ingatkan jangan kibar bendera putih, anggap mahu tunjuk kerajaan gagal

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan orang ramai yang terputus bekalan makanan agar tidak mengibarkan bendera putih kerana terdapat pelbagai saluran lain boleh diguna bagi mendapatkan bantuan.

Pemimpin Pas itu berpendapat tindakan mengangkat bendera putih sepatutnya hanya diguna dalam dua keadaan iaitu mengaku kalah dalam perang atau ketika perlawanan tinju.

“Sekarang kita belum kalah lagi, teruskan berjuang. Jadi, gunakan saluran yang betul dalam mendapatkan bantuan,” katanya lapor Harian Metro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu juga mengangap kempen mengibar bendera putih sebagai propaganda politik hendak menunjukkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya, pihak terbabit yang mencemburui kerajaan meminta orang ramai yang memerlukan bantuan menaikkan bendera putih.

“Sebenarnya kerajaan dapat mengatasi pandemik Covid-19 dengan baik, tetapi kerana kecemburuan pihak tertentu hendak tunjukkan kegagalan kerajaan, mereka tak ada kerja jadi minta orang ramai yang memerlukan bantuan naikkan bendera putih.

“Saya nampak ada Ahli Parlimen pembangkang yang pergi tolong rumah orang naikkan bendera putih, itu bukan kerja wakil rakyat, itu kerja orang gila, jangan buat kerja bodoh,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) Kulim, hari ini.

Sanusi memberitahu kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan kepada semua yang terjejas tanpa mengira latar belakang politik dan latar belakang mereka.

Menurutnya, penduduk terjejas boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di 12 daerah di Kedah atau menghubungi pusat khidmat wakil rakyat bagi mendapatkan bantuan.