Malaysia Dateline

MB Kedah tiada asas yang sah tuntut pembayaran Pulau Pinang

Menteri Besar (MB) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor tiada asas yang sah untuk menuntut bayaran dari Pulau Pinang dan Kerajaan Pusat seharusnya campur tangan bagi menghalang beliau dari mengambil tindakan persendirian yang boleh mengancam perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan PBA Holdings Bhd, Datuk Ir Jaseni Maidinsa, undang-undang Persekutuan dan Negeri yang wujud adalah untuk menentukan hak Pulau Pinang dan Kedah terhadap Sungai Muda.

Malah katanya, Pulau Pinang tidak mencipta pertikaian Sungai Muda dan tidak juga pernah mempersoalkan hak-hak riparian Kedah untuk mengabstrak air dari Sungai Muda, sebaliknya MB Kedah pula secara terbuka mengugut Pulau Pinang untuk menuntut pembayaran.

“Persoalannya apakah Kerajaan Persekutuan akan membenarkan MB Kedah secara persendirian membahayakan keselamatan bekalan air di Pulau Pinang.

” Namun begitu, seandainya beliau diizinkan untuk melakukannya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP tiada pilihan selain memulakan tindakan untuk mempertahankan bekalan air bagi 1.776 juta penduduk dan semua perniagaan yang beroperasi di Pulau Pinang melalui apa jua cara sekalipun.

“Pulau Pinang dan PBAPP telah menyatakan bahawa hutan hujan seluas 163,000 hektar di Ulu Muda tidak boleh dieksploitasi untuk mendapatkan keuntungan yang segera, tetapi tidak mampan, sebaliknya Ulu Muda harus dipelihara dengan betul dan dilindungi secara sah sebagai sumber air mentah yang tiada gantinya di wilayah NCER, ” tegas beliau.

Tambah Jaseni, telah beberapa kali dinyatakan bahawa Ulu Muda menadah air mentah bagi 3 buah negeri NCER iaitu, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Sejajar dengan itu kata beliau, Ulu Muda mesti dianggap sebagai isu NCER kerana kesan sosio ekonomi negatif dari kemusnahan Ulu Muda (dengan pembalakan dan potensi perlombongan REE) tidak hanya akan dirasakan di Pulau Pinang tetapi juga di Perlis dan Kedah.

Ia juga berkata, kesejahteraan dan kebajikan 4.2 juta orang di 3 negeri NCER adalah lebih penting daripada potensi pendapatan royalti daripada pembalakan dan perlombongan REE.

Tegas beliau lagi, sebelum ini MB Kedah dilaporkan menuntut RM100 juta setahun bagi memelihara dan melindungi Ulu Muda dan keengganan Kedah untuk meminta pampasan Persekutuan amat membingungkan.