Malaysia Dateline

MB Kedah tidak pakai pelitup muka akui seronok buat tinjauan

Sanusi tanpa memakai pelitup muka kelihatan amat gembira dengan aktivitinya ketika Kedah terus mencatatkan lonjakan kes Covid-19.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dilihat tidak mengenakan pelitup muka semasa tinjauannya di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkenaan mengakui seronok dengan aktivitinya di kawasan yang semakin luas digondolkan akibat pembalakan bersama kira-kira 10 individu lain.

“Saya memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda dalam Hutan Simpan Ulu Muda dengan mendaki bukit bukau, menuruni lembah, menyusuri laluan lori balak, meredah anak sungai, memang satu pengembaraan yang menyeronokkan walaupun tidak dinafikan cabarannya juga besar,” katanya.

Hantaran di Facebook itu turut memuatkan sejumlah 18 gambar yang antara lain memperlihatkan aksinya memandu kenderaan sendiri selain berjalan dalam selut di laluan lori balak.

Sanusi juga dilihat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila gagal menjaga jarak dengan seorang individu berdiri di sebelah memayungkan pemimpin Pas itu.

“Baik-baik masa ini berjiwa rakyat kononnya. Bawa balik kluster politik,” kata pengguna Facebook, Saleh Che Mat di ruangan komentar.

Pada 18 September lalu, Sanusi dilapor menjalani ujian saringan Covid-19 dan tidak dikategori sebagai kontak rapat individu positif Covid-19 kepada seorang jurugambar Jabatan Penerangan Negeri Kedah.

Terdahulu, jurugambar itu disahkan positif Covid-19 selepas menghadiri program penyerahan sumbangan bantuan di Wisma Darul Aman yang dihadiri Sanusi serta dua Exco, pegawai kerajaan, pimpinan Pas negeri dan petugas media.

Pada 1 Oktober lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan seorang Exco kerajaan negeri bersama pembantunya yang tidak dinamakan sebagai positif Covid-19.

Exco yang pulang dari Sabah membantu kempen PRN Sabah itu kemudiannya diketahui ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Azman Nasruddin seperti didedahkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah.

Azman didakwa tidak melakukan ujian saringan Covid-19 dan kuarantin kendiri selepas pulang dari berkempen PRN Sabah.

Dia turut menghadiri pelbagai program rasmi kerajaan negeri dan beberapa program di Langkawi pada 27 September lalu.

Isternya seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga, Pulau Pinang juga dijangkiti dan positif Covid-19.

Akibatnya, lebih 600 pelajar dan guru sekolah itu terpaksa menjalani ujian saringan Covid-19.

Untuk rekod, Kedah menyaksikan antara negeri kes kritikal penularan jangkitan Covid-19 selain Sabah.

Semalam sahaja, Kedah mencatatkan kes harian tertinggi berbanding negeri lain dengan mencecah 241 kes.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga semalam telah mengenal pasti dua lagi kluster baharu di Kedah iaitu Kluster Bah Sintok dan Kluster Jeram.

Kluster Bah Sintok dikenal pasti di Kubang Pasu, di mana kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-12,072) adalah seorang lelaki warga negara Malaysia berusia 23 tahun yang baru pulang dari Sabah pada 20 September.

Kluster Jeram pula dikesan di Kubang Pasu melibatkan kes indeks (iaitu kes ke-11,211) seorang pesakit wanita berusia 31 tahun yang bergejala batuk dan sakit kepala sejak 25 September lalu dan mendapatkan rawatan serta saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Tunjang pada 28 September lalu.