MB Kelantan digesa batalkan mesyuarat balak, salahi perlembagaan

MB Kelantan digesa batalkan mesyuarat balak, salahi perlembagaan

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Husam Musa menggesa Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob segera membatalkan mesyuarat kelulusan balak yang dijadualkan 16 April ini kerana tindakan itu dianggap melanggar perlembagaan.

“Saya dengan ini mencadangkan YAB membatalkan mesyuarat berkenaan atau mana-mana mesyuarat yang membawa kesan seperti itu.

“Saya juga ingin menegaskan, jika mesyuarat berkenaan diteruskan, saya mohon untuk hadir memerhati perjalanan mesyuarat itu bersama peguam saya atas kapasiti sebagai pembangkang di negeri ini,” katanya dalam satu surat yang ditujukan kepada Ahmad Yaakub yang turut diberi salinan kepada penasihat undang-undang negeri Kelantan dan ketua parti-parti pembangkang negeri.

Ahmad Yakob

Husam menerima maklumat berhubung kertas cadangan untuk meluluskan permohonan-permohonan melibatkan Hutan Simpan dengan keluasan yang amat besar pada mesyuarat itu.

“Pada hemat saya, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 7 April 2018, YAB dan kerajaan sementara (caretaker government) ini seharusnya mengelak daripada sebarang komitmen baharu, meliputi kelulusan pembalakan membawa ikatan kontrak melepasi tempoh Kerajaan YAB yang sudah berakhir.

“Mengikut semangat undang-undang, dengan pembubaran sesebuah Dun, seorang menteri besar dengan sendirinya menjadi ‘menteri besar sementara tanpa kuasa eksekutif’ sehinggalah kerajaan baru dibentuk dan ketua eksekutif baru dilantik,” katanya.

Beliau yang memetik pandangan pakar undang-undang perlembagaan berkata, kerajaan caretaker tidak boleh meluluskan kelulusan besar yang mempunyai kesan melampaui kerajaan sedia ada.

“Kedua, jika sekiranya ada kelulusan yang tidak boleh dielakkan, pembangkang hendaklah dirundingi kerana ada kemungkinan mana-mana pembangkang akan membentuk kerajaan baru selepas PRU. Mereka terpaksa memikul beban apa yang diputuskan sekarang.

“Ketiga, jika sekiranya kelulusan diteruskan, satu klausa hendaklah dimasukkan untuk menyatakan kelulusan itu boleh ditarik balik oleh Kerajaan baru,” katanya.

Beliau berharap pihak kerajaan negeri segera memberi respon kepada perkara ini kerana ia melibatkan pelanggaran undang-undang.

6.0
OVERALL SCORE
: 5.0
3 user votes x 6.3
CATEGORIES
TAGS