MB Kelantan, Timbalan Menteri ucap takziah kepada keluarga tiga pelajar maut di Jordan

MB Kelantan, Timbalan Menteri ucap takziah kepada keluarga tiga pelajar maut di Jordan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tiga pelajar Malaysia yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jordan, semalam.

“Saya merakamkan ucapan takziah terutama kepada Ustaz Azhar Salleh, Pegawai Kelantan di Timur Tengah dan juga Ustaz Mohd Safie Ismail, Pengetua Maahad Tahfiz Berangan Tumpat di atas pemergian anak perempuan mereka dalam dalam kemalangan di Mafraq, Jordan,” katanya dalam kenyataan.

Pelajar yang terkorban itu dikenal pasti sebagai Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz dari Kuala Lumpur dan Hana’ Azhar serta Al Najiatun Nailah Mohd Safie, kedua-duanya dari Kelantan.

Dua pelajar Malaysia yang terselamat ialah Izzam Hasif yang cedera di kaki dan patah tangan serta Fatin Noor Syahirah yang cedera di muka dan rahang.

Dalam kenyataan sama, Ahmad turut mengucapkan takziah kepada keluarga enam sekeluarga termasuk bayi kecil yang maut dalam nahas di Jalan Gua Musang-Kuala Krai semalam.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, pemandu kereta Nur Amira Azudin, 23, ibunya Mardiah Drani, 48, kakak iparnya Noor Azila Yasin, 27, serta tiga anak saudaranya, Muhammad Hadif Haykal Muhd Hafiz yang berumur setahun enam bulan, serta pasangan kembar Siti Badrishah Ab Rahman dan Siti Noraudah, 4, maut.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga pelajar yang maut di Jordan itu.

“Saya juga ingin menasihatkan pelajar kita di sana untuk lebih berhati-hati untuk menghindari insiden seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Watikah Pelantikan Guru Kelas Pengajian Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Parlimen Kuala Krai di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Pahi, hari ini.

TAGS