Malaysia Dateline

MB minta anak Johor diperantauan sokong kerajaan PH

Anak Johor yang berada di perantauan diminta untuk terus memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan PH yang kini menerajui negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, sokongan daripada ‘bangsa Johor’ terutama anak muda dapat membantu membina masa depan lebih cemerlang bagi Johor Darul Takzim.

“Saya rasa terpanggil mahukan anak Johor yang berada di perantauan terutama di Wilayah Persekutuan dan Selangor untuk bantu saya membawa Johor maju dari negeri lain.

“Saya harap rakyat bangsa Johor bantu kerajaan PH yang diberikan mandat pada PRU14 lepas untuk mentadbir dan mengurus Johor supaya lebih cemerlang kerana masa depan perjuangan kita bukan semata-mata untuk kita hari ini sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Hi-Tea Muafakat Johor anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) yang dihadiri lebih 500 anak Johor dari Wilayah Persekutuan dan Selangor di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam, dipetik Sinaronline.

Osman berkata, anak Johor juga perlu berusaha mengetepikan soal politik dalam usaha membangunkan negeri itu supaya rakyatnya tidak berpecah-belah.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada PAMJ bagi membangunkan aktiviti dan program muafakat dalam persatuan itu.

“Insya-ALLAH kalau saya dijemput lagi dan dapat kerjasama setiap tahun, saya akan tambah sumbangan ini. Apa yang saya nak supaya kesatuan ini akan dapat menjalankan segala usaha murni dan juga mencapai matlamat persatuan ini ditubuhkan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai isu Pulau Kukup di Pontian, Osman menganggap perkara itu sudah selesai selepas ia diputuskan terus kekal sebagai Taman Negara Johor. – Bernama