Malaysia Dateline

MB Negeri Sembilan jalani tempoh pengasingan selepas dijangkiti Covid-19

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan menjalani tempoh pengasingan mengikut ketetapan sebagai individu yang menerima dos penggalak vaksin Covid-19 selepas disahkan positif Covid-19 semalam.

Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dalam satu kenyataan memaklumkan Aminuddin sememangnya menjalani ujian pengesanan Covid-19 jenis RT-PCR secara berkala selain kerap melakukan ujian pengesanan secara kendiri melalui kaedah RTK Antigen.

“Kali terakhir beliau menjalani ujian RTK-Antigen dengan keputusan negatif pada Isnin lalu,” menurut kenyataan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan (ADUN) Sikamat yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu juga dimaklumkan akan terus memantau dan menjalankan tugas yang sesuai sebagai Menteri Besar sepanjang tempoh kuarantin.

Setakat semalam, Negeri Sembilan mencatatkan 1,998 kes baharu Covid-19 menjadikan keseluruhan kes wabak itu sebanyak 138,562 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan hari ini berkata terdapat satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Aminuddin Baki menjadikan 33 kluster tempatan yang masih belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun Covid-19