Malaysia Dateline

MB Negeri Sembilan ucap takziah atas pemergian Muhammad Adib

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun melahirkan rasa sedih atas pemergian pejuang negara Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Aminuddin turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang ke-14  hari ini.

“Kita rasa sedih dan kita yakin ini merupakan satu pengorbanan yang tidak dapat terganti dan saya mengharapkan kepada seluruh penjawat awam terus berusaha seperti saudara Allahyarham Muhammad Adib yang sentiasa memastikan bahawa keutamaan perjuangan kepada negara satu perkara yang amat penting,” katanya.

Tambahnya, pemergian arwah itu merupakan kehilangan dan satu pengorbanan yang besar dan semoga orang ramai terus mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.

Turut menzahirkan perkara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 9.41 malam selepas 21 hari bertarung nyawa akibat dipukul ketika insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Selangor, baru-baru ini.

— BERNAMA