MB Pahang umum portfolio lapan Exco

MB Pahang umum portfolio lapan Exco

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini, mengumumkan beliau memegang empat portfolio dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi Penggal ke-14.

Empat portfolio itu ialah Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Tanah dan Sumber Asli; Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Ekonomi; Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli serta Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perladangan dan Bioteknologi.

Bagaimanapun, Wan Rosdy berkata ia mungkin hanya bersifat sementara sebelum Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memperkenan cadangan untuk menambah dua lagi Exco berbanding lapan orang pada waktu ini, seperti yang dibenarkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

“Cadangan untuk melantik dua lagi Exco telah dikemukakan kepada Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan jika diperkenan baginda, saya akan melepaskan dua portfolio yang dipegang,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pahang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands di sini, yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Beliau seterusnya mengumumkan tiga muka baharu Exco Pahang iaitu Datuk Nazri Ngah yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna.

Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Adun Bebar) dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia manakala Abd Rahim Muda (Adun Lepar) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Exco penggal lepas yang dilantik semula pula ialah ADUN Lanchang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) serta Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (ADUN Kuala Sentul) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Adun Kerdau) menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan; Datuk Seri Norol Azali Sulaiman (Adun Guai) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi manakala Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Adun Tioman) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan.

Wan Rosdy berkata pembahagian tugas itu dilakukan mengambil kira latar belakang, kebolehan dan pengalaman, khususnya yang melibatkan Exco lantikan semula.

“Sebagai contoh Abd Rahim pernah berkhidmat dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Mohammad Fakhruddin merupakan seorang jurutera. Kita percaya pengalaman mereka dalam tugasan sebelum ini boleh membantu tugasan mereka sebagai Exco,” katanya.

Wan Rosdy juga mengingatkan semua Exco untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komited dan mendalami bidang tugas mereka sebaik-baiknya bagi menunjukkan contoh yang baik.

“Saya yakin semuanya boleh melaksanakan tugas dengan baik kerana mereka ini dipilih oleh rakyat pada pilihan raya lalu yang menunjukkan mereka ada kewibawaan sendiri.

“Saya positif mereka boleh melakukan tugas dengan baik jika fokus dan berdisiplin dalam tugasan yang diamanahkan,” katanya.

Wan Rosdy yang menggantikan Adun Pelangai, Datuk Seri Adnan Yaakob yang memegang jawatan sebagai Menteri Besar Pahang sejak empat penggal lepas, mengangkat sumpah jawatan itu pada 15 Mei lepas.

Lapan Exco terbabit turut mengangkat sumpah di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Pekan pada hari yang sama.