Malaysia Dateline

MB Perak kalah dalam undi percaya, hilang jawatan MB

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Faizal Azumu tewas dalam undi percaya yang dikemukakan oleh  Adun Pengkalan Baru dari Umno, Abd Manaf Hashim.

Adun Chenderiang yang juga Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya hari ini.

Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.

Dengan itu Ahmad Faizal akan kehilangan jawatannya sebagai menteri besar.

Adun-adun yang menentang beliau adalah dari Umno, AMANAH, DAP dan PKR.

Usul ini sepatutnya dibentangkan selepas belanjawan namun dua ahli iaitu Salbiah Mohamed (BN-Temenggor) dan Howard Lee (PH-Pasir Pinji) membawa dua usul tergempar agar ianya dibincangkan segera.

Adun Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari (PH) kemudian memohon agar pengundian dijalankan secara belah bahagi. Ia diterima Mohamad Zahir selepas lebih 10 Adun berdiri untuk menyokongnya.

KALI KEDUA DALAM SEJARAH

Ketua Pembangkang DUN Perak Dr Abdul Aziz Bari bercakap dalam sidang media selepas kejatuhan kerajaan PN Perak.

Ketua Pembangkang, Dr Abdul Aziz Bari ketika sidang media selepas itu berkata, keputusan hari ini adalah satu kemenangan untuk demokrasi.

Katanya, undi percaya yang dibentangkan hari ini adalah kali kedua yang berlaku dalam sejarah negara.

“Kali pertama tahun 1976 di Parlimen Malaysia, iaitu Datuk Husein Onn mengambilalih jawatan Perdana Menteri dari Tun Abdul Razak yang meninggal dunia di luar negara.

“Kali ini Datuk Seri Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti dan seluruh kerajaan termasuk exco gugur bersama beliau,” katanya.

Selepas ini, katanya, akan berlaku beberapa proses untuk pembentukan kerajaan baru.

“Kita harap rakyat dapat bersabar,” kata beliau dalam sidang media pembangkang Perak yang mempunyai 24 ahli dari DAP, AMANAH dan PKR itu.

Beliau juga berkata, Perak dapat menunjukkan kepada Malaysia dan dunia, bahawa demokrasi hidup dengan baik di Perak.