Malaysia Dateline

MB Perak nafi barisan exco kurang prihatin

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan barisan exco kerajaan negeri kurang prihatin terhadap nasib yang menimpa keluarga mangsa kebakaran di sebuah rumah kedai dua tingkat di kawasan perindustrian Puncak Jelapang Maju, Meru, Selasa lepas.

Sebaliknya, beliau berkata kelewatan barisan exco melawat keluarga mangsa adalah disebabkan jadual kerja yang padat.

“Saya sendiri pada ketika itu berada di Kuala Lumpur dan dalam keadaan tidak sihat kerana dijangkiti Influenza A maka saya tidak sesuai untuk berjumpa dengan orang ramai

Saya tahu yang exco kerajaan negeri masing-masing punyai jadual yang begitu padat saya harap pada masa akan datang apabila kami yang pertama sampai bolehlah juga di laporkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kembali ke Sekolah 2019 peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Pakatan Jaya semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan barisan exco Perak kurang prihatin berbanding exco kerajaan dahulu.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga Anggota Parlimen Tambun turut melahirkan rasa sedih kepada anggota keluarga mangsa di atas kejadian itu yang meragut enam nyawa.

Difahamkan mereka yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada P.Thiagarajun, 40, yang dipercayai pemilik premis dan lima pekerja sambilan iaitu Mohd Nor Aiman Abdul Rahman, 16; Mohamad Nor Ikram Mohd Husni, 15; Mohd Ikhmal Izzudin Mohd Kamari, 16; Ahmad Faizal Amiruddin, 16, serta Mohamad Azhar Shah Rosli, 19.

Pada program hari ini beliau menyampaikan 1,000 set kelengkapan persekolahan mengandungi beg sekolah, pakaian sekolah dan alat tulis.

Kerajaan negeri melalui Yayasan Perak memperuntukkan RM1.5 juta bagi melaksanakan program berkenaan di seluruh negeri bagi meringankan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah dan ramai tanggungan membuat persiapan persekolahan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal mencadangkan semua anggota Umno untuk meninggalkan parti berkenaan.

“Pada pandangan saya semua Anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dari mana-mana negeri patut keluar parti, Umno tidak lagi relevan kerana masih mempertahankan perkara-perkara yang ditolak secara nyata oleh rakyat.

Beliau mengulas mengenai enam Anggota Parlimen UMNO keluar daripada parti itu hari ini termasuk Anggota Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

— BERNAMA