Malaysia Dateline

MB Perak punyai kesungguhan politik

Seorang wakil rakyat PAS hari ini menyifatkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai pemimpin yang mempunyai kesungguhan politik kerana tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak berhubung soal hak milik tanah.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Gunung Semanggol Razman Zakaria yang juga Pesuruhjaya PAS Perak berkata perkara itu dapat dilihat menerusi tindakan menteri besar membenarkan tanah rizab kerajaan negeri yang tidak lagi diguna diberikan hak milik secara berperingkat kepada penduduk.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada ADUN Chenderiang (Ahmad Faizal) yang pada saya seorang pemimpin yang mempunyai ‘political will’, beliau tidak tunduk kepada mana-mana desakan, tidak tunduk kepada mana-mana kehendak,” katanya semasa membahaskan Belanjawan Perak 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Menurut Razman hampir 100 peratus mereka yang mendiami kawasan rizab kerajaan, rizab sungai serta tanah kereta api adalah Melayu.

Semasa membentangkan Belanjawan Perak 2019 semalam, Ahmad Faizal berkata pemilik Lesen Menduduki Sementara (TOL) yang tinggal di kawasan sempadan pantai di daerah Kerian, Larut Matang, Manjung, Hilir Perak dan Bagan Datuk serta tanah-tanah rizab kerajaan yang tidak lagi digunakan akan diberikan hak milik secara berperingkat.

Menurutnya pemberian hak milik yang berlarutan sejak sekian lama itu akan diselesaikan sepenuhnya tahun depan selepas selesai bancian oleh Pejabat Tanah dan Daerah serta Pejabat Tanah dan Galian negeri bagi menentukan mereka yang layak.

— BERNAMA