MB Perak sedia beri kerjasama kepada SPRM

MB Perak  sedia beri kerjasama kepada SPRM

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes terdapat pihak ingin menjatuhkannya.

Katanya beliau tidak mempunyai masalah untuk memberi keterangan setakat pengetahuannya memandangkan beliau tidak mengetahui dengan jelas isu yang dibangkitkan Ketua Pembangkang Datuk Saarani Mohamad sebelum ini.

“…. kerana saya tak tahu apa cerita (isu menjatuhkan menteri besar), jadi saya cuma boleh beritahu apa yang saya tahu, apa yang saya baca,” katanya ketika diminta mengulas laporan SPRM Perak telah membuka kertas siasatan dan akan menjalankan siasatan mengenai perkara berkenaan.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak Tahun 2018 yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Zainal Azman Abu Seman di sini hari ini.

Semalam, Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Dr Abdul Aziz Bari telah memberi keterangan selama dua jam kepada SPRM Perak mengenai isu fitnah menjatuhkan menteri besar negeri itu.

Selasa lalu, Saarani semasa perbahasan Belanjawan 2019 pada persidangan Dewan Undangan Negeri seolah-olah menggambarkan Abdul Aziz yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi sebagai dalang komplot untuk menjatuhkan menteri besar.

Bagaimanapun, Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak menafikannya dan menyifatkan tuduhan Saarani sebagai satu ‘cerita kartun’ serta gimik murahan untuk menarik perhatian dalam politik.-BERNAMA.