MB Perak tetap mahu iktiraf UEC, mufti negeri dukacita

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu akan bertemu Mufti negeri Tan Sri Dr Harussani Zakaria bagi menjelaskan pendirian kerajaan negeri berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Beliau berkata pengiktirafan UEC adalah antara janji yang telah diputuskan dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saya fikir ramai yang tidak faham tentang maksud sebenar perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri di Ipoh semalam.

Terdahulu, Harussani dalam kenyataannya berkata pengiktirafan UEC akan merungkai asas perpaduan kaum yang berpaksikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Tan Sri Harussani Zakaria

Beliau berkata ia amat mendukacitakan sama sekali jika UEC diiktiraf kerana ia membuka ruang yang cukup besar kepada kaum-kaum lain dengan menimbulkan semangat perkauman yang boleh merosakkan suasana harmoni yang wujud di negara ini.

Menurut Harussani, kerajaan perlu mengambikira maslahat umum iaitu sesuatu yang berfaedah, silibus, dasar dan akta-akta sedia ada serta pandangan pakar dan tokoh negawaran yang berkaitan dalam setiap perancangan dasar baharu.

“Kerajaan tidak seharusnya hanya menerima sahaja cadangan dan terus melaksanakannya tanpa melihat kepada kesan dan akibat dasar tersebut,” tegasnya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal turut menegaskan sekali lagi kerajaan negeri akan menerima secara terbuka untuk mengiktiraf UEC, namun pemegang sijil itu perlu fasih berbahasa Melayu selain mendapat kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Itu yang kita mahu agar seluruh rakyat Malaysia terutama sekali yang berkhidmat sebagai penjawat awam hendaklah boleh berbicara, menulis dan membaca dalam Bahasa Malaysia, itu amat penting untuk semua rakyat negara.

“Jadi, kerajaan negeri PH menganggap tidak perlu mengongkong atau mengekang mana-mana pihak yang memegang sijil itu untuk tidak diberi peluang sewajarnya untuk bertugas sebagai penjawat awam,” katanya.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan sekolah menengah persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya sejak 1975 adalah reaksi sistematik pelampau kaum menolak sistem pendidikan kebangsaan.

9.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 8.0
CATEGORIES
TAGS