Malaysia Dateline

MB Perlis minta Adun, masyarakat bantu perangi salah guna ketum

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan orang awam di negeri ini memainkan peranan masing-masing dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan ketum.

Beliau berkata penglibatan Adundan orang ramai dilihat sebagai satu langkah efektif berbanding dengan tindakan penguatkuasaan undang-undang semata-mata.

“Kerjasama daripada orang awam amat penting, mereka boleh memberi maklumat kepada pihak berkuasa dan menyedarkan masyarakat sekitar tentang bahaya ketum apabila ia disalah guna,” katanya semasa menjawab soalan Azam Karap (PKR-Kuala Perlis) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis di sini, hari ini.

Bagi mengawal penanaman ketum di negeri ini, Azlan berkata sejak 2008 kerajaan negeri telah mengenakan sekatan ke atas penanaman pokok tersebut dalam pemberian hak milik tanah baharu dan diketatkan lagi pada tahun 2018 dengan memasukan larangan tersebut dalam syarat nyata hak pemilikan tanah baharu.

Katanya pihak berkuasa seperti Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan dalam menguat kuasa larangan terhadap penjualan hasil daun ketum.

“Pada 2017, pihak AKSEM telah berjaya mematahkan sebanyak 92 kes ketum dengan nilai rampasan RM544,104 dan nilai rampasan meningkat kepada RM1.12 juta pada tahun 2018,” katanya.

Azlan berkata PDRM juga telah menubuhkan Sekretariat Nukleus Narkotik Perlis serta mempertingkat kerjasama dengan jabatan lain bagi melaksana operasi bersepadu dengan memberi tumpuan di kawasan berisiko tinggi.

“PDRM turut mewujudkan talian khas Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Perlis bagi menerima aduan-aduan awam dan menjalin kerjasama dengan polis Thailand bagi menangani jenayah penyeludupan daun ketum di sempadan negara,” katanya.– BERNAMA