MB perlu bertanggungjawab kes seleweng hartanah, kata Amanah Johor

MB perlu bertanggungjawab kes seleweng hartanah, kata Amanah Johor

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin perlu bertanggungjawab dalam kes rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di negeri itu, kata Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor, Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, hal ini kerana ia melibatkan anak exco, agensi kerajaan negeri seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Johor dan Setiausaha Kerajaan (Bahagian Perumahan) yang terletak di bawah portfolio menteri besar sendiri.

“Menteri Besar perlu tampil dengan penjelasan kenapa ketirisan dan penyelewengan serta salah guna kuasa dalam agensi kerajaan Johor berlaku secara terbuka akhir-akhir ini. Isu ini telah menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di negeri ini.

“Saya tidak mahu komen, biar SPRM siasat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas penahanan enam lelaki termasuk anak dan pegawai khas seorang pegawai kerajaan negeri Johor yang dipercayai terlibat dalam skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di negeri itu.

Enam lelaki berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam satu operasi serentak yang dilancarkan oleh SPRM kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Turut ditahan dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal tersebut.

Mengikut kenyataan SPRM yang dikeluarkan semalam, maklumat awal menunjukkan kesemua suspek disyaki telah bersubahat dalam pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek-projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis-premis di negeri Johor.

Turut dirampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

Justeru Dzulkifli berkata, Amanah Negeri Johor mendesak supaya pihak SPRM membuat siasatan secara telus dan pendakwaan perlu dilakukan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab sehingga mengakibatkan kerugian besar kepada kerajaan dan rakyat menerima hukuman yang setimpal.

 

TAGS