Malaysia Dateline

MB Selangor akui perbincangan bersama Menteri Kesihatan ‘sangat melegakan’

Selepas berterusan mencatatkan kes harian tertinggi, Selangor akhirnya bersemuka dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu pertemuan dengan Adham dan pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) itu sangat produktif.

Amirudin bersyukur perbincangan bersama melibatkan pasukan kesihatan negeri dengan KKM itu bakal melancarkan gerak kerja pengurusan pandemik Covid-19 di Selangor.

“Di sebalik ‘doom and gloom’ (perasaan tidak mempunyai harapan) yang biasa kita dengar apabila dihadapkan dengan angka-angka jangkitan yang meningkat, ternyata perbincangan bersama YB Menteri sangat melegakan,” ujarnya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, pertemuan tersebut memberi harapan yang terbentang luas untuk kerajaan negeri dan KKM bersama-sama memberikan yang terbaik buat Selangor dan Malaysia.

“Banyak yang sempat dibincangkan dalam rangka masa hampir dua jam, daripada sebesar-besar isu vaksin dan Pusat Transit Sementara (PTS) membawa ke isu pewartaan, termasuk isu-isu lain seperti perkongsian data dan kerjasama melalui agensi kerajaan negeri.

“Insya-Allah, berkat kerjasama dan persetujuan YB Menteri dan pasukannya, kita akan umumkan beberapa kesepakatan yang kita berjaya capai hari ini -kemuncak kepada usahasama Persekutuan dan Negeri tanpa ‘working in silos’ (budaya kerja secara silo atau bekerja dalam komuniti sendiri),” ujarnya lagi.

Adham sedang memberi penjelasan kepada Amirudin berkenaan perkembangan wabak Covid-19 di CPRC, Putrajaya semalam.

Dibenarkan beroperasi 

Selangor merekodkan kes jangkitan Covid-19 tertinggi dengan jumlah keseluruhan sebanyak 70,441 kes setakat jam 12 tengah hari semalam.

Daripada jumlah itu, 69,991 kes melibatkan penularan tempatan manakala 450 kes jangkitan luar negara.

Sektor ekonomi seperti perkilangan, pembuatan dan pembinaan di Selangor yang bergantung kepada tenaga buruh asing dikesan menjadi penyumbang utama jangkitan Covid-19 merebak pantas.

Sebahagian kluster baharu yang diumumkan KKM setiap hari datang dari Selangor tetapi difahamkan masih dibenarkan beroperasi.

Sebanyak 62,814 kes sembuh daripada Covid-19 di Selangor manakala terdapat 168 kematian direkodkan. Sehingga semalam juga sebanyak 7,459 kes aktif iaitu sedang dirawat di Selangor.

Selangor juga satu-satunya negeri merekodkan kes empat digit semalam dengan pertambahan lagi 1,145 kes.

Punca kes baharu paling tinggi dikesan daripada saringan kontak rapat sebanyak 565 kes diikuti kluster baharu di Jalan Ragum, Bukit Rahman (252), kluster sedia ada (46) dan 281 kes dikesan daripada lain-lain saringan manakala satu kes import.