MB Selangor minta penjelasan exco peniaga caj 20 sen untuk beg plastik

MB Selangor minta penjelasan exco peniaga caj 20 sen untuk beg plastik

Menteri Besar Selangor mengarahkan exco kerajaan negeri, Elizabeth Wong memberi penjelasan berhubung kritikan orang ramai terhadap caj 20 sen bagi setiap beg plastik.

Menteri Besar Selangor mengarahkan exco kerajaan negeri, Elizabeth Wong memberi penjelasan berhubung kritikan orang ramai terhadap caj 20 sen bagi setiap beg plastik.

Datuk Seri Azmin Ali berkata, Wong yang juga Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna sebelum ini mendakwa maklum balas daripada pengguna adalah positif.

“Saya dah minta exco beri penjelasan kerana sambutan yang dilaporkan beliau amat positif di kalangan pengguna,” katanya kepada media di Shah Alam hari ini, memetik laporan Malaysiakini.

Selangor menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik dan polisterin setiap hari bagi semua pusat komersial utama mulai 1 Januari lalu selepas membuat peraturan sama setiap Sabtu sejak 2010.

Bagaimanapun bagi pengguna yang tetap ingin menggunakannya, mereka boleh mendapatkannya dengan membayar tambahan 20 sen bagi setiap satu beg plastik.

Ia menimbulkan bantahan sesetengah pihak dan mempertikaikan kewajaran larangan itu kerana beg plastik yang dianggap antara punca pencemaran alam sekitar sebenarnya masih boleh digunakan dan tidak benar-benar diharamkan.

Azmin juga memberitahu bayaran 20 sen daripada dasar bebas beg plastik dan polisterin itu tidak masuk ke kantung kerajaan negeri.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar pernah mempertikaikan larangan berkenaan dan ke mana kutipan jualan beg plastik itu disalurkan.

“Memang kerajaan negeri tidak ambil. Bayaran itu dikenakan oleh kedai-kedai yang menyediakan kemudahan berkenaan,” kata Azmin.

Pada masa sama, kerajaan negeri menyatakan, wang terkumpul daripada penjualan beg plastik berkenaan sepatutnya digunakan bagi kerja-kerja pemuliharaan alam sekitar.

Namun kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengaudit peniaga terbabit.

TAGS