Malaysia Dateline

MB Terengganu akui perbincangan dapat respons positif PM

Menteri Besar Terenggau, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu pertemuan dengan Perdana Menteri berkenaan pelbagai perkara berkaitan kepentingan Terengganu mendapat respons positif daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memperhalusi pandangan-pandangan Dr. Mahathir menerusi perbincangan empat mata selama sejam itu yang boleh dilaksanakan terutama dalam isu melonjakkan ekonomi masyarakat desa.

“Secara umumnya, pertemuan dan perbincangan itu sangat menarik dan mendapat respons positif YAB Perdana Menteri terhadap apa jua yang diutarakan.

“Ini termasuklah pandangan beliau tentang bagaimana kita seharusnya mengambil langkah mengukuhkan ekonomi masyarakat desa yang memerlukan satu lonjakan dalam tindakan pihak kerajaan sama ada di peringkat negeri atau Pusat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Publisiti dan Penyertaan Awam dan Laporan Pemeriksaan Draf Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 (Kajian Semula) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya juga mendapatkan pandangan Dr Mahathir yang mempunyai pengalaman luas dalam proses mengukuh dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat.

“Dengan mengambil kira kedudukan Terengganu yang menerima wang tunai petroleum sejak tahun 1974 tetapi tidak banyak yang berubah dari segi pergerakan struktur masyarakat,” tambahnya lagi.

Kelmarin, Ahmad Samsuri merangkap Yang Dipertua Pas Marang dalam laman sosial Facebook dan Instagram miliknya berkongsi mengenai pertemuan santai dengan Dr. Mahathir di Pejabat Perdana Menteri di Putrajayaa.

Antara itu yang dibincangkan, jelas Ahmad Samsuri ialah hala tuju pelaburan luar dengan Terengganu, projek di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) di bawah Teras V, isu wang tunai petroleum, baki pinjaman oleh pihak Kerajaan Persekutuan untuk projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), projek Khazanah di Terengganu dan pemerkasaan ekonomi penduduk tempatan.