Malaysia Dateline

MB Terengganu bawa balik Dr Zaki perkuatkan kedudukan

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membawa seorang lagi pakar politik dari luar untuk memperkukuhkan kedudukannya di Terengganu apabila Profesor Dr Mohamad Zaki Hamzah dibawa ke Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).

Beliau dipinjamkan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ke TSIS selama dua tahun mulai 16 Jun lepas untuk membantu apa yang dinamakan sistem penyampaian kerajaan.

“Bagi saya ini tindakan politik untuk mengukuh kedudukan beliau (MB Terengganu) di negeri ini dari pesaing yang telah berjaya beliau ketepikan sebelum ini iaitu Datuk Mustafa Ali,” kata satu sumber di Kuala Terengganu.

Sebelum ini, Mustafa, bekas Setiausaha Agong, Naib Presiden serta Pengarah Pilihan Raya Pas adalah pemimpin berpengaruh kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Namun sejak beberapa tahun lepas beliau kelihatan diketepikan apabila Dr Ahmad Samsuri dilantik sebagai Setiausaha Politik Hadi.

Namun sejak kebelakangan ini, Mustafa dilihat dekat dengan Hadi kembali. Yang terakhir beliau dilihat mengiringi Hadi bertemu dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di ibu negara.

Dr Zaki, seorang penyelidik di UPM mengumumkan perpindahan beliau ke Terengganu menerusi facebooknya pada 16 Jun lepas.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT, dengan izinNya jua saya memulakan kerja semasa PKPP dengan norma baru di lokasi baru, dengan suasana dan amanah baru yang perlu digalas selama, sekurang-kurangnya 2 tahun.

“Ucapan jazakallahu khairan di atas kepercayaan yang diberikan untuk menggalas tugas ini. Semoga dimudahkan segala urusan dalam melaksanakan tugasan ini,” kata beliau yang berasal dari Terengganu itu.

Dr Samsuri dilantik sebagai MB Terengganu selepas pilihan raya umum ke 14 lalu apabila menang sebagai Adun Rhu Rendang, kawasan yang selama ini menjadi kerusi tradisi Presiden Pas.

Oleh kerana tidak mempunyai sebarang jawatan dan tidak pernah aktif dalam politik di Terengganu, Samsuri membawa ramai rakan-rakannya dari Lembah Klang bertugas di Terengganu termasuk di pejabat MB, TSIS di samping GLC di bawah kerajaan Terengganu.