Malaysia Dateline

Ahmad Razif

MB Terengganu digesa umum status lokasi medan minyak Bertam

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman digesa tidak berteka teki mengenai lokasi sebenar medan minyak Bertam Blok PM307 yang dijanjikan akan diketahui pada Januari lalu, apabila masih gagal mengumumkan lokasiĀ  tersebut.

Ketua Pemuda PH Negeri Terengganu Hasbi Muda berkata, sehingga ke saat ini keputusan lokasi sebenar medan minyak tersebut masih tidak diumumkan kepada rakyat Terengganu.

“Ia kekal menjadi teka-teka walaupun Menteri Besar mengesahkan bahawa ia akan diketahui pada bulan Januari yang lalu.

“Adakah Menteri Besar berbohong di dalam Dun yang mulia?

“Adakah keputusan sudah diketahui tetapi Menteri Besar sengaja sembunyikan daripada pengetahuan rakyat Terengganu?,” soalnya dalam kenyataan.

Hasbie Muda
Hasbi Muda

Justeru katanya Ahmad Razif harus memahami isu hak milik ke atas hasil petroleum merupakan maruah rakyat Terengganu yang tidak boleh dipikul secara sambil lewa.

“Kegagalan pemimpin negeri memperjuangkan hak rakyat dan negeri adalah pengkhianatan buat rakyat dan generasi pada masa depan,” ujarnya.

Pada 12 Disember tahun lalu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman memaklumkan di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu bahawa keputusan lokasi medan minyak Bertam Blok PM307 akan diketahui sama ada pertengahan atau akhir bulan Januari 2018.

Status keputusan lokasi yang dijalankan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) adalah indikator terpenting untuk menjayakan rundingan antara Terengganu dan Pahang mengenai status sebenar telaga minyak tersebut.

Terdahulu pada tahun 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak sewaktu mengumumkan penemuan rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM307 adalah bertentangan dengan negeri Pahang.

Justeru Pahang berhak menerima wang ihsan sekitar RM100 juta setahun, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.

Walau bagaimanapun, syarikat cari gali minyak di kawasan berkenaan iaitu Lundin Oil mendakwa bahawa ia berada di kawasan Geliga, Kemaman, Terengganu.